PETALING JAYA, Feb 23 — Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, yang dititahkan Sultan Selangor agar mengemukakan syor berkaitan dengan Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 termasuk guna kalimah “Allah” jika ada, akan menemui Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini.
“Saya akan menemui Menteri Besar petang ini untuk mendapatkan pandangan sama ada saya perlu menggerakkan usaha berkaitan perkara ini (saranan kaji semula enakmen) atas kapasiti saya sebagai Ahli Parlimen atau ditubuhkan sebuah jawatankuasa bersama di peringkat negeri,” katanya.
Yang Dipertua PAS Shah Alam ini berkata jika kerajaan negeri merasakan perlu ada jawatankuasa bersama peringkat negeri beliau akan meminta cadangan nama anggota untuk meneliti perkara tersebut.
Sehubungan itu kata Khalid, beliau akan menjemput bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin agar menganggotai jawatankuasa tersebut.
“Saya sudah bercakap dengan Dr. Asri dan beliau juga bersetuju untuk sertai bersama jawatankuasa jika ditubuhkan,” katanya ketika ditemui malam tadi.
Khalid berkata, buat masa sekarang antara lain beliau akan memberi tumpuan ke atas soal penggunaan kalimah “Allah”, kriteria mengeluarkan tauliah menyampaikan ceramah dan kuliah agama di Selangor, garis panduan penyertaan guru dan murid-murid di sekolah agama negeri dan kriteria pelantikan pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
“Ini antara perkara yang akan dikaji... kita tengok dulu mungkin ada perkara-perkara lain... kita akan lihat keseluruhan enakmen ini,” kata beliau yang telah ditolak permohonan mendapatkan tauliah oleh Jais tahun lalu.
Asri juga mengalami nasib yang sama dan kini berhadapan dengan dakwaan Jais di mahkamah syariah Selangor.
Khalid mahu penyandang jawatan pengarah Jais dilantik dari kalangan mereka yang ada latar belakang agama, bukannya “lantikan politik” semata-mata.
Khalid menghadap Sultan Selangor pada 22 Jan lalu.
Sebelum ini Khalid pernah mendakwa enakmen itu sudah ketinggalan zaman.
Dalam pertemuan itu Sultan Sharafuddin Idris Shah juga tidak mahu isu mengenai kalimah “Allah” berpanjangan sehingga menjadi polemik politik.
Khalid berkata dalam pertemuan lebih sejam itu, Sultan Selangor turut ada menyentuh polemik semasa membabitkan beliau dengan Jais dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).
“Walaupun kunjungan ini bertujuan mendapatkan wawasan Tuanku mengenai Shah Alam, baginda juga ada membangkitkan isu semasa yang berkaitan dengan kalimah Allah dan pertikaian membabitkan Jais dan Mais.
“Baginda bertitah bahawa jika ada apa-apa pandangan hendak dicadangkan, tulis kepada Mais dan Tuanku, baginda akan memberi pertimbangan,” kata Khalid sebelum ini.
Selangor merupakan antara negeri yang mengguna pakai Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.
Ia antara lain melarang orang bukan Islam menggunakan secara bertulis atau lisan 25 perkataan.
Antara perkataan itu adalah, Allah, firman Allah, nabi, mubaligh, syariat, wahyu, mufti, Kaabah, hadis, rasul, iman, ibadah, fatwa, haji, kiblat, Ilahi, Injil, ulama, khalifah, wali, syeikh, imam dan dakwah.
Bukan Islam juga dilarang menggunakan 10 perbahasan seperti subhanallah, insya-Allah, astaghfirullahlah, masya-Allah dan Allahuakbar sama ada berbentuk lisan ataupun penulisan.
Khalid juga berkata beliau kemungkinan akan membawa syor mengkaji enakmen itu ke peringkat partinya jika perlu untuk mendapatkan pandangan.
0 comments:
Post a Comment