Mangsa kebakaran Terus Dibantu


SUNGAI LIMAU DALAM – Kejadian kebakaran yang melanda Pekan Sungai limau baru-baru ini memusnahkan banyak rumah hinggakan ada individu sekeluarga yang terpaksa menumpang di rumah saudara.

Mengenangkan kesusahan keluarga yang tinggal di kawasan sekitar kebakaran itu, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kawasan Sungai Limau Dalam menyampaikan sumbangan hasil kutipan ahli KRT dan penduduk setempat.

Difahamkan kutipan sumbangan itu bermula pada majlis perasmian Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang diadakan baru-baru ini.

Pengerusi KRT, Abdul Razak Ghazali berkata, kutipan itu dijalankan atas dasar keprihatinan pihak KRT ke atas nasib yang menimpa penduduk Pekan Sungai Limau yang terlibat dalam kebakaran itu.

“Diharapkan dengan sumbangan ini, ia dapat membantu mereka yang terlibat bangun kembali atas kerugian yang dialami.

“Semua sumbangan ini adalah hasil kutipan penduduk dan ahli KRT yang prihatin terhadap penduduk sekitar,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebakaran Sungai Limau Dalam, Ooi Cheng Wah berkata, sumbangan yang diterima kini telah mencecah hampir RM60,000. Sumbangan itu diperoleh hasil keprihatinan orang ramai dan persatuan.

“Kita telah mengikut konsep 1Malaysia apabila semua orang tanpa mengira kaum tolong menolong membantu mangsa kebakaran ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam perkembangan lain, pada hari sama, seorang usahawan telah menyumbang sebanyak RM500 untuk membantu penduduk terlibat.

Usahawan, Khazali Yahya berkata, dia terpanggil untuk turut sama memberi sumbangan atas dasar keprihatinan dan mahu penduduk kembali membina kehidupan mereka.

“Semoga dengan bantuan dan sumbangan yang ada, mereka dapat merencana kembali kehidupan mereka,” katanya.

Ambilan: Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.