Sungai Kedah Akan Dimajukan Untuk Jadikan Daya Tarikan Destinasi Pelancongan





Sungai Kedah akan diperindahkan dan usaha yang berterusan akan dijalankan dengan mengambil kira suasana persekitaran yang ada dalam usaha menjadikan sungai ini sebagai salah satu daya tarikan pelancong.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Bioteknologi, YB. Dato’ Ir. Haji Amiruddin Hamzah, perbincangan akan dilakukan untuk memastikan bahawa Sungai Kedah mampu menjadi daya tarikan.

“Ia juga bersesuaian di mana kita perlu mengambil kira rezab sungai yang dihuni penduduk sepanjang sungai ini sebelum merobohkan setinggan yang ada di sini,” katanya.

Beliau menjelaskan, perancangan yang lebih tersusun perlu ada dalam usaha mengindahkan Sungai Kedah yang ada sekarang ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan menyusuri sepanjang Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit selama dua jam di sini.

Amiruddin berkata, pada peringkat awal, pihaknya akan membincangkan perkara itu dalam usaha memastikan Sungai Kedah yang bermula dari Sungai Kilat sehingga Ampang Jajar ke Istana Anak Bukit untuk dimajukan sebagai destinasi pelancongan.

“Mana-mana setinggan yang ada dipersisiran sungai berkenaan akan dirobohkan dan kita akan memperindahkan kawasan berkenaan dan kemungkinan, kita akan mencari dana untuk melaksanakan penyelenggaraan projek itu,” ujarnya.

Tambahnya, kerjasama daripada jabatan-jabatan contohnya, Jabatan Bandar dan Desa serta lain-lain jabatan amat diperlukan dalam usaha bersama-sama menjayakan projek itu.

Sementara itu, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Dato' Haji Bashirudin Haji Abdul Jamil berkata, UPEN mempunyai satu program iaitu bengkel bersama penduduk dan pihaknya akan meminta pandangan daripada mereka dan tanpa kerjasama daripada penduduk di tepi-tepi sungai, pelaksanaan itu tidak akan berjaya.

“Kita berharap kawasan di persisiran Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit tidak akan menjadi tempat pembuangan sampah,” jelasnya.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Kedah, Haji Ab. Qahar Osman berkata, pengusaha restoran perlu diberi kesedaran dalam usaha menjaga persekitaran sungai agar berada dalam keadaan bersih dan indah.

“Kita perlu sentiasa mempunyai program secara bersama terutama dalam aktiviti menjaga persekitaran sungai di mana waktu sekarang musim hujan,” katanya.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan, YB. Dato’ Ir. Phahrolrazi Haji Zawawi dan Pengarah Urusan Bina Darul Aman Berhad, Dato’ Jahubar Sathik.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.