Penyamun pasir dicekup Exco
PUCHONG – Konon-kononnya bijak apabila melakukan aktiviti mencuri pasir pada awal pagi namun seorang penyamun pasir di Putrajaya dekat sini terpaksa melarikan diri dan meninggalkan lori yang penuh dengan muatan bahan itu di tepi jalan selepas menyedari kenderaannya dikepung Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan negeri, Yaakob Sapari.
Difahamkan Exco Kerajaan Negeri itu dalam perjalanan pulang dari sebuah program Qiamullail di Sepang menuju ke Puchong sebelum mengesyaki dan mencurigai keadaan lori yang keluar masuk berhampiran selekoh Putrajaya di sini kira-kira jam 3 pagi, baru-baru ini.
Sinar Harian dimaklumkan kenderaan milik Exco itu kemudian menghalang laluan lori itu beberapa meter dari hentian tol Bukit Puchong sebelum pemandu lori berkenaan memberhentikan kenderaan dipandunya.
Yaakob berkata, ketika turun dari kereta dan menuju ke arah tempat duduk bahagian pemandu, individu memandu lori terbabit lari lintang-pukang ke arah kawasan hutan berhampiran dan hilang sekelip mata.
"Lori berkenaan ditinggalkan dengan keadaan enjin masih hidup dan penuh dengan muatan pasir yang kita percaya diambil di kawasan tidak dikeluarkan permit di kawasan Dengkil.
"Satu laporan polis dibuat berhubung perkara itu dan kenderaan terbabit disita dan kini diletakkan di bangunan SUK,"katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Kata Yaakob, perkara itu jelas menunjukkan Kerajaan Negeri serius dalam isu kecurian pasir dan tidak teragak-agak mengambil tindakan kepada pesalahnya.
"Ia sejajar dengan langkah Kerajaan Negeri menawarkan ganjaran kepada mana-mana orang awam yang berjaya memberi maklumat sehingga tertangkapnya mereka yang bersalah.
"Seperti dimaklumkan mereka yang berjaya menahan lori akan dikurniakan ganjaran RM2,500 manakala mesin dan jentera diberi ganjaran RM5,000,"katanya.
Yaakob berkata, pihaknya mengakui memang wujud aktiviti kecurian pasir dan tindakan mengawalnya diambil secara keseluruhan.
"Macam jenayah, meskipun polis sudah melakukan usaha mengawalnya tetap ada berlaku jenayah.
"Ia sama macam kita, yang besar-besar sudah dikawal dan kini tumpuan kepada jenayah kecil,"katanya.
0 comments:
Post a Comment