Kerajaan Pakatan Pulau Pinang Perlu Dipertahankan


Peruntukan untuk hal-ehwal Islam yang disediakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang bagi tahun ini adalah yang tertinggi pernah dinikmati oleh institusi Islam di negeri itu selama ini, kata ketua penerangan PAS, Idris Ahmad.

Menurutnya, pada 2008, peruntukan untuk hal-ehwal Islam oleh Kerajaan BN hanya RM12.5 juta.

“Namun dalam pembentangan belanjawan tahun 2008 kerajaan Pakatan telah menambahnya kepada RM20.5 juta untuk peruntukan 2009.

“Pada pembentangan belanjawan 2009, peruntukan meningkat lagi kepada RM24.3 juta untuk 2010.

“Jumlah ini adalah peruntukan tertinggi yang pernah dinikmati oleh intistusi Islam di Pulau Pinang selama ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini yang bertajuk 'Pulau Pinang Maju, umat Islam dan Melayu terbela di bawah Pakatan'.

Di samping itu, katanya, kerajaan Pakatan juga memberi pengiktirafan kepada para huffaz dengan memberikan peruntukan RM1.5 juta setiap tahun kepada sekolah-sekolah agama rakyat.

Sehubungan itu, katanya, PAS mengucapkan tahniah kepada kerajaan Pakatan Pulau Pinang kerana berjaya menunjukan prestasi yang begitu membanggakan selepas mentadbir negeri pulau mutiara itu sejak dua tahun yang lalu.

Idris mendakwa, walaupun BN cuba menggambarkan bahawa Pakatan tidak mampu mentadbir negeri itu dengan baik, namun rakyat dapat melihat sendiri cekapnya pemerintahan di bawah Pakatan.

“Pada 2007, kerajaan BN mensasarkan belanjawan 2008 mengalami defisit RM35 juta tetapi sebaik sahaja kerajaan bertukar kepada Pakatan, belanjawan itu mengalami lebihan RM88 juta, iaitu lebihan paling tinggi dalam sejarah Pulau Pinang.

“Bagi belanjawan 2009 pula, anggaran defisit dibuat sebanyak RM40 juta tetapi pemerintahan Pakatan sekali lagi memberikan hasil dengan lebihan RM77 juta,” tambahnya.

Kontraktor Melayu tak diabaikan

Menurut Idris lagi, sepanjang pemerintahan kerajaan negeri Pakatan Rakyat, kontraktor Melayu juga tidak diabaikan

“Dakwaan Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang yang dikuasai Umno bahawa Melayu dipinggirkan dalam agihan projek dinegeri itu adalah tidak benar.

“Pada 2008, (seramai) 78 Kontraktor Melayu, berbanding 35 kontraktor bukan Melayu, telah menerima projek melalui sebut harga.

“Satu kontraktor Melayu dan satu kontraktor bukan Melayu masing-masing telah menerima projek melalui tender terbuka.

“Pada 2009, 89 kontraktor Melayu diterima untuk projek melalui sebut harga dan bilangan kontraktor bukan Melayu yang diterima berkurangan kepada 19 syarikat sahaja,” kata Idris.

Pada tahun yang sama, tambahnya, projek yang diberi kepada kontraktor Melayu melalui tender terbuka bertambah kepada 45 syarikat dan bukan Melayu 6 Syarikat.

Menurutnya, peningkatan yang ketara ini membuktikan kerajaan Pakatan masih menghormati hak kaum Melayu dan tidak menafikan hak kaum lain.

“Keutamaan pemberian projek adalah bergantung kepada kelayakan, kemampuan dan kesungguhan yang ditunjukan oleh pemohon tanpa mengira kaum mereka.

“Inilah bukti kesungguhan, dan iltizam pembangunan yang dilaksanakan hasil dari kepercayaan rakyat dalam pilihanraya lalu,” tambahnya.

Idris berkata, Pakatan sesekali tidak akan mensia-siakan harapan dan amanah rakyat apabila mentadbir mana-mana negeri.

“PAS berharap akan kejayaan ini dapat diteruskan dan rakyat di negeri berkenaan dapat memberikan keyakinan serta mandat yang berterusan kepada Pakatan untuk penggal yang akan datang,” tambahnya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.