Isu Istana Kelantan: Kakak dakwa Tengku Anis kawal sultan

Dua orang kakak kepada Sultan Kelantan - Tuanku Ismail Petra Tuanku Yahya Petra - hari ini mendakwa bahawa Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, yang mengawal ketat sultan.

Mereka mendakwa, Tengku Anis yang mengawal siapa yang boleh menziarahi sultan, dan polis, doktor serta kakitangan hospital menjadi sasaran gangguan para pembantunya.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Rumah Kelantan di ibunegara hari ini, Tengku Salwani Almarhum Sultan Yahya Petra (kanan dalam foto) berkata, beliau difahamkan seorang kakitangan hospital telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

Sultan Kelantan kini sedang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kota Bharu, Kelantan.

Sidang akhbar tersebut merupakan perkembangan terbaru dalam pergolakan keluarga diraja Kelantan antara Tengku Fakhry Petra dengan abangnya, Tengku Faris Petra, berhubung takhta kerajaan negeri.

Seorang lagi kakak baginda, Tengku Rozan (kiri dalam foto) berkata, beliau dan Tengku Salwani dilarang Raja Perempuan daripada menziarahi sultan ketika baginda dirawat di Singapura sebelum ini.

Beliau mendakwa, mereka dilarang berbuat demikian selama sembilan bulan mereka berada di republik itu.

Pelawat lain, katanya, termasuk pakar perubatan dan pakar agama dari Malaysia, juga turut dilarang daripada menemui baginda.

Dakwanya lagi, hanya mereka yang menyokong Raja Perempuan dibenarkan melawat baginda.

Tengku Rozan juga berkata ada sebab-sebab untuk mempercayai bahawa Raja Perempuan telah menggunakan bomoh untuk 'merawat' sultan dengan "barang-barang yang diragui dari segi hukumnya" ditemui dekat baginda di Singapura.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.