Singapura: Bayaran Lebih Kerap Bagi Bergaji Rendah


Syor tidak akan jejas matlamat utama WIS - galak warga miliki pekerjaan tetap

PARA pekerja bergaji rendah yang menyertai skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) atau Workfare mungkin akan menikmati bayaran lebih kerap daripada jadual dwitahunan yang sedia ada dalam usaha menggalak lebih ramai bekerja secara tetap.

Menyatakan demikian, Menteri Tenaga Manusia, Encik Gan Kim Yong, berkata kementeriannya sedang membincangkan isu tersebut dengan para majikan dan kesatuan sekerja.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa sebarang perubahan yang mungkin dibuat tidak akan menghakis matlamat utama WIS iaitu menggalak warga Singapura mempunyai pekerjaan tetap.

Oleh itu, kata beliau, tempoh kelayakan bagi WIS akan tetap dikuatkuasakan.

Buat masa itu seorang individu perlu bekerja sekurang-kurangnya tiga bulan dalam tempoh enam bulan untuk layak menyertai skim tersebut.

Encik Gan berkata perincian semakan ke atas WIS hanya akan diumumkan semasa perbahasan Belanjawan yang akan bermula hujung bulan ini.

Ini dinyatakan beliau sebagai mengulas saranan seorang hadirin di sesi dialog sempena lawatannya ke kawasan undi Nee Soon Central semalam, yang dihos Anggota Parlimennya, Encik Ong Ah Seng.

Dalam sesi tersebut, Encik Jeffrey Tong telah menyarankan agar bayaran WIS diberi lebih kerap iaitu sebulan sekali atau dua minggu sekali untuk menarik lebih ramai menyertainya.

'Selepas membincangkan isu tersebut (pembayaran lebih kerap) dengan anggota-anggoa pakatan tiga pihak - pemerintah, majikan dan kesatuan sekerja - kami rasa menggalak bekerja secara tetap merupakan matlamat penting WIS. Oleh itu, kami masih perlukan tempoh kelayakan dan diharap ia akan menggalak lebih ramai penerima WIS mencari pekerjaan tetap agar dapat menikmati bayaran WIS secara tetap,' jelas Encik Gan.

Pada masa yang sama, beliau berkata pekerja bergaji rendah, khususnya golongan warga tua, akan dibantu untuk menikmati gaji lebih tinggi menerusi peningkatan kemahiran.

Encik Gan berkata pihaknya sedang membincangkan butiran skim yang bakal menangani empat hambatan yang dihadapi golongan pekerja berkenaan iaitu kurang kemahiran asas membaca dan mengira; kehilangan pendapatan jika berlatih; tempoh latihan yang panjang dan majikan yang keberatan membenarkan mereka mengikut latihan.

Golongan pekerja bergaji rendah telah diketengahkan oleh Jawatankuasa Strategi Ekonomi (ESC) dalam laporannya baru-baru ini yang bertujuan memperbaiki daya penghasilan pekerja tempatan.

Antara saranan ESC ialah memperkenalkan satu program tersusun yang boleh dilakarkan bagi melatih dan menempatkan para pekerja itu dalam pekerjaan lebih baik.

Program tersebut boleh merangkumi kemahiran asas dalam membaca dan menulis, memberi elaun latihan, menyediakan kaunseling bagi memberikan galakan positif dan kelas bermodul bagi memenuhi jadual kerja mereka yang tidak tetap.

Sepanjang sesi dialog kira-kira sejam itu, kebanyakan penduduk mengetengahkan isu-isu berkaitan tenaga manusia, termasuk isu pekerja asing.

Encik Gan memberi jaminan bahawa jumlah pekerja asing akan ditetapkan sekitar sepertiga daripada keseluruhan pekerja negara dengan ruang untuk naik turun sedikit berdasarkan kelakonan ekonomi negara.

'Apa yang penting ialah anda dan pekerja asing di syarikat anda berganding bahu untuk pastikan syarikat anda lebih produktif dan berdaya saing agar dapat bersaing dengan syarikat-syarikat lain di luar negara,' kata Encik Gan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.