Minyak Wangi: Pelajar Dakwa Dipukul Guru


KULIM: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu Sekolah Menengah Lubuk Buntar dekat sini mendakwa dipukul seorang guru lelaki semasa dalam kelas pagi semalam kerana bertanya sama ada guru itu memakai minyak wangi.

Nurasyira Zakaria, 13, berkata, dia mengalami bengkak pada bahagian kepala akibat diketuk dengan tangan dan dihentak dengan buku teks, dan telah mendapat rawatan di Hospital Parit Buntar.

"Semasa cikgu sedang menulis di papan hitam, cikgu bertanya ada sesiapa dalam kelas yang memakai minyak wangi dan tiada siapapun yang mengaku, dan saya kemudiannya bertanya adakah cikgu memakai minyak wangi," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Bukit Tok Gula dekat sini hari ini,

Nurasyira berkata guru itu marah dengan pertanyaan beliau dan menghentak kepalanya dengan buku teks sebelum mengetuk kepalanya dengan tangannya.

Katanya setelah pulang ke rumah pada 3 petang, dia mengadu kepada bapanya Zakaria Mamat, 50, yang membawanya ke Klinik Kesihatan di Bagan Samak di sini sebelum dibawa ke Hospital Parit Buntar.

Zakaria pula berkata bahawa beliau membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bandar Baharu malam tadi.

"Anak saya telah dipukul dengan teruk hanya kerana bertanyakan sama ada gurunya memakai minyak wangi. Saya bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap guru itu," katanya.

Pagi tadi beliau bersama Nurasyira dan isterinya Piza Mat Saad, 39, telah bertemu dengan pengetua sekolah untuk mendapatkan maklumat sebenar mengenai kejadian itu tetapi diberitahu bahawa guru terbabit tiada di sekolah kerana ke Pejabat Pelajaran di Kulim.

Pegawai Pelajaran Daerah Kulim/Bandar Baharu Abu Bakar Md Ali ketika dihubungi berkata kes itu akan disiasat dengan segera.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.