SPRM: Siasatan Menyeluruh Masih Diteruskan Berhubung Skandal PKFZ

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih meneruskan siasatan menyeluruh berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Bahagian Komunikasi Korporat SPRM Putrajaya, dalam satu kenyataan hari ini, berkata kajian bagi mengenalpasti kelemahan sistem yang membolehkan berlakunya penyelewengan juga sedang dijalankan.
"Siasatan menyeluruh ke atas kes PKFZ tetap diteruskan oleh SPRM. Selain itu, SPRM juga sedang menjalankan kajian bagi mengenalpasti kelemahan dalam sistem dan prosedur yang menyebabkan berlakunya penyelewengan itu," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut mengingatkan semua pihak agar tidak mengeluarkan kenyataan atau spekulasi berhubung kes itu yang boleh menjejaskan siasatan yang sedang berjalan.

Pada 7 Jun lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, dilaporkan berkata siasatan yang dilakukan terhadap isu PKFZ sebelum ini sudah memadai, justeru ia tidak perlu terus disiasat.

Sementara itu, dalam kes berasingan, SPRM Perak menahan seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan isterinya kerana mengutip wang sogokan daripada pendatang tanpa izin pada setiap bulan di Teluk Intan.

Lelaki berusia 58 tahun itu ditahan pada 8 Jun pada 12.45 malam setelah SPRM mendapat aduan daripada seorang pendatang tanpa izin bahawa suspek meminta wang sogokan sebagai balasan pendatang asing itu tidak dikenakan tindakan.
"Anggota Rela itu mengutip wang sogokan RM30 seorang daripada setiap pendatang tanpa izin yang tidak mempunyai permit kerja dan dokumen perjalanan yang sah.

"Suspek dikatakan menelefon pendatang asing itu pada setiap bulan sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas mereka sekiranya ada operasi yang dijalankan oleh pihak penguasa tempatan," menurut kenyataan itu.

Anggota Rela terbabit memperoleh RM180 setiap bulan dari enam orang pendatang asing tanpa izin.

Isteri anggota Rela itu pula ditahan kira-kira 3.25 pagi semalam setelah siasatan awal mendapati isterinya turut bersubahat dengan menerima kutipan wang itu bagi pihak suaminya.

"Kedua-dua mereka kini direman selama tiga hari bermula semalam mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah," menurut kenyataan itu. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.