MP Hulu Selangor - Permohonan batal petisyen Zaid Ibrahim 20 Julai

Permohonan anggota parlimen Hulu Selangor P Kamalanathan bagi mengetepikan petisyen pilihan raya oleh Datuk Zaid Ibrahim, calon Parti Keadilan Rakyat yang tewas kepadanya dalam pilihan raya kecil bagi kerusi itu pada 25 April lalu, akan didengar di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Selasa ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azahar Mohamed menetapkan tarikh itu selepas menemui peguam yang mewakili semua pihak yang terlibat hari ini.

Pada 24 Mei lalu, Zaid memfailkan petisyen agar keputusan pilihan raya kecil itu diisytihar tidak sah dan dibatalkan dengan mendakwa berlakunya rasuah dalam bentuk sogokan kepada penduduk.

Zaid kalah kepada Kamalanathan daripada Barisan Nasional dengan majoriti 1,725 undi.

Zaid menamakan Kamalanathan serta pegawai pengurus pilihan raya berkenaan, Nor Hisham Ahmad Dahlan, dan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai responden.

Kamalanathan, yang juga ketua penerangan MIC, memfailkan permohonan membatalkan petisyen itu dengan alasan Zaid gagal mendedahkan kausa tindakan yang munasabah dan petisyen itu adalah mengaibkan, remeh, menyusahkan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Selain itu, katanya, Zaid gagal mengenal pasti orang yang didakwanya ditawarkan sogokan.

Kamalanathan diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Cheng Mai manakala Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dan Mohd Azhar Mohd Yusof mewakili pegawai pengurus pilihan raya dan SPR. Peguam Ang Hean Leng, Leong Sher How dan Azahar Azizan Harun mewakili Zaid.

- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.