Gandingan Pakatan tidak susut sokongan Melayu, Rumusan ‘retreat’ PAS

Mahfuz yakin yang kadar sokongan masyarakat Melayu meningkat. - Gambar oleh Choo Choy May




TERKINI



KUALA LUMPUR, 13 Julai — PAS yang baru menyempurnakan sesi pemukiman tiga hari bertegas bahawa parti itu tidak mengalami kemerosotan sokongan orang Melayu semata-mata kerana bekerjasama dengan PKR dan DAP menerusi ikatan Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, PAS menolak andaian dalaman dan luaran parti berkenaan yang ia sedang berhadapan dengan situasi penurunan sokongan orang-orang Melayu.

“Retreat kami kali ini menyimpulkan bahawa sokongan Melayu kepada PAS merosot tidak berbangkit sama sekali, kami mendapati tiada asas langsung untuk mengatakan sokongan orang Melayu sudah merosot hanya kerana kerjasama dalam Pakatan Rakyat... tiada fakta dan tiada hujah kuat dalam hal ini,” kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Oleh itu kata beliau, tidak timbul soal keresahan dan kebimbangan bahawa PAS sudah mula hilang sokongan pengundi Melayu sejak kebelakangan ini.

Sebenarnya menurut Mahfuz, sokongan orang Melayu telah meningkat sepanjang satu dekad lalu dan trend ini masih kekal sehingga kini.

“Pada pilihan raya umum 1999, PAS menerima sokongan 40 peratus orang Melayu dan kadar ini meningkat kepada 45 peratus dua tahun lalu. Ini menunjukkan undi orang Melayu tidak merosot.

“Begitu juga ketika pilihan raya kecil kerusi Bukit Gantang di mana (bekas menteri besar) Datuk Seri Nizar Jamaluddin mendapat 45 peratus undi orang Melayu... sekali lagi menunjukkan undi orang Melayu tidak merosot, tidak menurun hanya kerana kerjasama dalam Pakatan Rakyat,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

PAS mengekalkan kerusi itu pada pilihan raya kecil Mac lalu.

Sesi pemukiman tiga hari PAS di Port Dickson berakhir kelmarin.

Sehubungan itu kata Mahfuz, PAS juga memutuskan kebimbangan dan keresahan bahawa kemerosotan pengundi Melayu akan menjadi satu ancaman tidak berasas sama sekali.

“Kami memutuskan bahawa sokongan kedua-dua pengundi Melayu dan bukan Melayu adalah perlu dan aspek ini akan terus dipertingkatkan,” kata beliu.

Mahfuz menambah, pertemuan retreat juga menekankan “segala perkara yang berkaitan dengan Islam dan orang Melayu akan terus dilindungi” sebagaimana telah dipersetujui Pakatan Rakyat dalam Dasar Bersama yang diterima Disember lalu.

Beliau mendakwa kerjasama Pakatan Rakyat - yang dianggotai PAS, DAP dan PKR tidak menjejaskan ataupun menghakis hak orang Melayu.

“Soal bahasa, hak keistimewaan, kekebalan diraja dan sebagainya terhakis bukan kerana PAS bekerjasama dengan PKR dan DAP tetapi sudah lama terhakis di bawah Umno, contohnya banyak tanah rizab orang Melayu yang diambil tidak diganti... ia berlaku masa bila? Jadi dakwaan bahawa sokongan orang Melayu merosot, tidak sokong PAS kerana kerjasama dengan Pakatan Rakyat tidak benar,” katanya.

Dalam pada itu seorang lagi Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sesi pemukiman kali ini mengambil ketetapan untuk meningkatkan sokongan orang Melayu dan menarik pengundi-pengundi atas pagar.

“Antara lain kita memfokus pada aspek bagaimana boleh menarik lagi sokongan orang Melayu dan atas pagar, di kawasan Felda, perkampungan tradisi,” kata beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.