KDN cipta Alasan Remeh & Bodoh: Ketua Pengarang SK

Suara Keadilan mempertikaikan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang membuat laporan polis meminta akhbar rasmi PKR itu disiasat bawah akta rahsia rasmi (OSA).

Mempertahankan tindakannya, Ketua Pengarang Suara Keadilan Dzulkarnain Taib berkata pihaknya menyiarkankan semula surat tunjuk sebab daripada KDN dalam akhbar barunya Keadilankerana ia "tidak mempunyai apa-apa rahsia pun".

"Saya ingatkan KDN, jangan cuba cipta alasan yang remeh-temeh terhadap kita. Cukuplah. Sebagai sebuah parti politik yang berdaftar, kita berhak menerbitkan akhbar kita sendiri.

"Janganlah cipta alasan bodoh," katanya ketika diminta mengulas laporan polis kementerian itu kepada Keadilan malam tadi.

KDN dilaporkan membuat satu laporan polis meminta Suara Keadilandisiasat bawah akta kontroversi OSA kerana menerbitkan surat bertanda "Sulit" di muka hadapan akhbar terbarunya itu.

Ketika dihubungiMalaysiakini hari ini, Dzulkarnain berkata, pihaknya akan berbincang dengan peguam mereka Shamsul Iskandar Md Akin berhubung tindakan lanjut bagi menangani tindakan terbaru KDN itu.

"Kita rujuk peguam dulu," katanya.

Sementara itu Dzulkarnain juga memberitahu, semalam pihaknya telah menjawab satu lagi surat daripada KDN yang tidak berpuas hati dengan pihaknya.

Katanya, selepas menjawab surat tunjuk sebab pertama bertarikh 28 Julai, KDN menghantar satu lagi surat kepada Suara Keadilan yang memaklumkan tidak berpuas hati dengan penjelasan itu pada 2 Julai.

Selepas pihaknya tidak menjawab surat tersebut, tambahnya, KDN menghantar surat ketiga pada 9 Julai.

"Kita jawab (yang terbaru) semalam. Sebelum ini mereka hantar surat dan kata tidak puas hati sahaja. Kita (sebelum ini) anggap itu sebagai makluman (semata-mata)," katanya.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi daripada KDN berhubung tindakan terbaru mereka kepada akhbar itu.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.