17 cawangan Umno Jelutong desak Zahid selesai krisis UMNO Bahagian Jelutung

Zahid perlu segera menangani krisis ini, kata Abdul Wahad. — gambar fail

PULAU PINANG, 13 Julai — Lebih 4,000 anggota daripada 17 cawangan Umno dalam Bahagian Jelutong hari ini mendesak Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelesaikan segera krisis dalaman yang dihadapi oleh Umno bahagian sejak tiga tahun lalu.

Wakil ketua-ketua Umno cawangan yang “tergantung” itu, Abdul Wahab Abdullah berkata Zahid perlu berjumpa dengan kesemua ketua dan jawatankuasa 17 cawangan terbabit supaya krisis itu tidak berlarutan dan menjejaskan persiapan pilihan raya umum ke-13 kelak.

“Kami daripada 17 cawangan Umno ini masih lagi sayangkan parti dan masih berdiri teguh di belakang Umno, jadi janganlah biarkan kami meningggalkan Umno hanya kerana tiada apa yang boleh dibincangkan lagi,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata kesemua 17 cawangan Umno itu kesal dengan tindakan kepimpinan Umno Bahagian Jelutong dan Badan Perhubungan Umno Negeri yang menfitnah kononnya status cawangan mereka tidak sah atas alasan mempunyai ahli hantu.

“Sehingga tahun ini, kami tidak menerima apa-apa surat yang menyatakan status kami tidak sah atau digantung ataupun ditangguh dan oleh itu apa yang kami lakukan adalah mengikut undang-undang Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk mengadakan mesyuarat tahunan masing-masing semalam,” kata beliau.

Abdul Wahab berkata sebelum ini terdapat wakil Majlis Tertinggi (MT) Umno menjalankan siasatan mengenai dakwaan Umno Bahagian Jelutong terhadap 17 cawangan terlibat dan hasil siasatan itu mengesahkan bahawa kesemua cawangan itu mempunyai lebih 4,000 ahli sah.

“Adalah tidak logik tuduhan bahawa cawangan-cawangan kami mempunyai ahli hantu kerana jika ia benar-benar berlaku, Umno Bahagian Jelutong itu sendiri adalah tidak sah sekarang kerana kebanyakan kami adalah bekas barisan kepimpinan Umno bahagian itu dan telah pernah menghadiri persidangan perwakilan bahagian,” kata beliau yang juga bekas ketua pemuda Umno Bahagian Jelutong.

Katanya tindakan kepimpinan Umno Bahagian Jelutong sememangnya cuba melemahkan parti kerana dalam usaha Presiden Datuk Seri Najib Razak memperkukuhkan pengaruh Umno di kalangan rakyat, Umno Bahagian itu pula sedang menyingkir anggotanya.

Beliau berkata lebih 4,000 anggota Umno terlibat memberi tempoh sehingga hujung tahun ini dan jika MT masih tidak memberi sebarang keputusan, mereka mungkin akan membubarkan cawangan masing-masing dan keluar daripada Umno secara beramai-ramai.

Sementara itu, Ketua Bahagian Umno Jelutong, Abdul Razak Abdul Rahman berkata beliau telah menghantar surat kepada ahli-ahli daripada 17 cawangan itu untuk menyertai cawangan lain kerana Badan Perhubungan Umno Negeri telah membuat keputusan untuk menutup cawangan mereka. — Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.