Rampas Tanah Selepas Rampas Kuasa... Siapa Punya Kerja Nie??

Umno-BN Juara Rampas Tanah Rakyat Di Perak

Tindakan kerajaan negeri Perak di bawah Umno-Barisan Nasional menyerahkan sebidang tanah milik yang kini diusahakan oleh petani di Gopeng kepada syarikat berkaitan pemimpin Umno dianggap tidak berperikemanusiaan dan mementingkan kroni.

Ahli Dewan Undangan Negeri Teja, Chang Lih Kang mendakwa ini menguatkan lagi persepsi rakyat bahawa Umno-BN sememangnya merampas hak rakyat sejak lebih 50 tahun memerintah negara ini.

Berikutan itu, beliau telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Ipoh Khamis lalu berhubung tanah yang kini diusahakan bagi penternakan ikan hiasan serta digazetkan untuk Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT).

"Setelah meneliti laporan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), kami dapati satu fakta yang amat mengejutkan, iaitu salah seorang pemegang saham dalam syarikat yang mendapat kelulusan mendapatkan tanah tersebut merupakan Timbalan Ketua Bahagian Gopeng UMNO, Mejar (B) Roslan Zakaria," kata Lih Kang dalam satu kenyataan media.

Menurut beliau, jawapan bertulis Dewan Undangan Negeri menyatakan tanah seluas 50 ekar yang terletak di Kampung Sungai Itek, Gopeng, telah diberikan kepada Safura House of Diamond Sdn Bhd.

Perkara ini dilihat pelik kerana penguasaha tanah tersebut sudah berkali-kali membuat permohonan namun semua permohonan ditolak tanpa diberikan sebab yang jelas.

Lih Kang berpendapat tindakan kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang menafikan tanah kepada petani tetapi memberikan kepada pemaju satu tindakan yang tidak wajar.

Apatah lagi kerajaan negeri telah memberikan tanah tersebut kepada kroni dan ini jelas amalan rasuah dan salahguna kuasa, kata beliau lagi.

"KEADILAN mengecam sekeras-kerasnya kerakusan kerajaan Umno-Barisan Nasional ini. Sekiranya perbuatan ini tidak dihentikan, ramai lagi rakyat akan menderita kerana mereka akan diusir keluar daripada tanah yang sedang mereka usahakan sekarang. Kami menyeru SPRM agar mengambil tindakan yang tegas terhadap orang yang bertanggungjawab dalam kes ini," tambahnya.

Lih Kang mendedahkan ini adalah kejadian yang kedua selepas kes salahguna kuasa dan skandal penyelewengan tanah di Kampung Sungai Itek di mana Ketua Bahagian Umno Gopeng, Datuk Hamzah Mohd Kassim telah diberikan kuota 10 lot tanah dalam kampung tersusun tersebut.

Beliau juga menuntut penjelasan dari Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Dr Mah Hang Soon yang merupakan satu-satunya anggota bukan daripada Umno dalam barisan Exco.

"Beliau perlu jelaskan kenapa tidak menghalang perkara ini daripada berlaku. Ini menunjukkan Umno-BN telah mereput hingga ke dasarnya, hinggakan pimpinan peringkat bahagian pun melakukan rasuah dengan rakus.

"Oleh itu, untuk mencegah kejadian ini daripada berlaku lagi, saya menggesa agar jawatan Datuk Seri Zambry selaku Pengerusi Jawatankuasa Tanahdibekukan sepanjang siasatan kes ini dijalankan dan membatalkan kelulusan permohonan Safura House ke atas tanah tersebut.

"Kami juga menuntut untuk dibenarkan wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat untuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tanah supaya satu sistem semak dan imbang diwujudkan," tambah Lih Kang.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.