KUALA LUMPUR, 15 Ogos — Jika sebelum ini penduduk PPR Intan Baiduri Kepong di sini, yang terletak dalam bahagian Parlimen Batu, terpaksa menunaikan solat tarawih di ruang yang sempit, situasi itu sudah tidak dirasai lagi tahun ini dengan mereka memiliki surau Al-Hijrah yang lebih selesa.
Lebih menggembirakan surau itu diterima kira-kira tiga minggu sebelum 1 Ramadan.
Surau Al-Hijrah yang boleh memuatkan kira-kira 500 jemaah pada satu-satu masa memberi kemudahan kepada umat Islam PPR itu untuk menjalankan pelbagai aktiviti ibadah dengan lebih selesa.
Menurut Pengerusi Surau Al-Hijrah, Abdul Aziz Sidek, sejak empat tahun lalu penduduk terpaksa bersembahyang tarawih di surau yang terletak di bawah blok bangunan.
“Sambutan Ramadan tahun ini adalah paling menggembirakan penduduk di sini kerana tidak perlu bersesak dalam surau yang kecil dan sempit setiap kali solat tarawih.
“Kalau empat tahun lalu nak solat tarawih pun terpaksa bersesak-sesak, malah pengurusan surau terpaksa menyediakan khemah di luar surau kerana terlalu ramai.
“Tapi kini berkat usaha dan kesabaran kita mendapat surau baru yang selesa dan indah setelah kerja-kerja pembinaan yang dilakukan sejak tahun lalu selesai,” katanya kepada The Malaysian Insider semalam.
The Malaysian Insider difahamkan satu majlis penyerahan kunci surau itu telah diadakan bulan lalu dengan disempurnakan oleh Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup.
“Kini segala penantian sudah berakhir dan bersyukur kerana doa dan harapan penduduk berkenaan selama ini untuk memiliki surau lebih sempurna dan selesa akhirnya termakbul,” kata Abdul Aziz.
Katanya, surau itu dapat memberi kemudahan untuk warga PPR melakukan pelbagai program.
Pihak ahli jawatankuasa surau pula katanya, akan cuba memikirkan bentuk-bentuk program agar aktiviti di surau ini akan terus hidup.
Surau Al-Hijrah yang menelan kos RM2 juta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan antaranya bilik audio, bilik imam, pejabat serta bilik kelas agama.
Selain itu, turut disediakan ruang dapur dan dewan makan yang luas dan selesa, bilik jenazah serta tandas dan ruang wuduk yang dilengkapi kemudahan untuk golongan orang kurang upaya.
Setiausaha Surau Al-Hijrah, Razak Sahimi berkata, sebelum ini penduduk PPR memiliki sebuah surau di bawah blok bangunan namun sering berlaku kesesakan kerana ruang yang agak kecil apabila terdapat aktiviti atau majlis tertentu.Kira-kira separuh daripada 6,000 penghuni PPR Intan Baiduri beragama Islam.
Beliau berkata surau baru itu akan dapat memberi ruang yang lebih luas, sekali gus memberi keselesaan kepada para jemaah untuk mengadakan pelbagai aktiviti keagamaan khasnya.
Sementara itu Ahli Parlimen Batu Tian Chua yang ditemui ketika program berbuka puasa di surau Al-Hijrah berkata, sepanjang Ramadan beliau akan mengunjungi kesemua surau dan masjid di bahagian Parlimen tersebut untuk menyampaikan sumbangan.
“Saya difahamkam di Parlimen Batu mempunyai kira-kira 60 buah surau dan masjid jadi saya mengambil inisiatif untuk menyampaikan sumbangan sepanjang Ramadan.
“Hari ini sahaja kita sudah pergi ke tujuh surau atau masjid untuk serahkan sumbangan,” katanya yang kini berhadapan dengan rayuan kes yang bakal menentukan sama ada kerusi itu akan kosong atau sebaliknya.
Terlebih dahulu Tian Chua turut membantu menyediakan bubur lambuk di surau Al-Hijrah untuk diedarkan kepada penduduk PPR Intan Baiduri dan kawasan sekitar.
0 comments:
Post a Comment