YAN, 15 Ogos — Seorang wanita warga emas yang tinggal seorang diri ditemui mati dan dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Teluk Mak Acheh, dekat sini, hari ini.
Mangsa Lian Osman, 74, ditemui oleh jirannya pada pukul 1.30 tengah hari dalam keadaan tertiarap di ruang tamu rumahnya dengan kesan lebam di bahagian muka, dipercayai ditekup menggunakan bantal.
Jiran mangsa, Rogayah Saad, 51, berkata dia mengesyaki sesuatu apabila mangsa tidak kelihatan di luar rumah seperti sebelumnya sejak awal pagi semalam.
Dia kemudian terkejut apabila terjumpa dompet kepunyaan mangsa di atas jalan kira-kira 30 meter daripada rumah mangsa.
“Saya ternampak kesan umpil pada tingkap rumah yang berkunci itu dan terus memanggil suami (Shukri Ahmad) bagi melihat apa yang berlaku dalam rumah mangsa,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Sementara itu, Shukri, 56, yang juga ketua kampung itu, berkata dia dia membuka pintu rumah mangsa dan mendapati mayat mangsa dalam keadaan terlentang di ruang tamu dan barang-barangnya berselerak.
Anak mangsa, Hashimi Hassan, 53, yang tinggal di Alor Setar, berkata ibunya memang tinggal berseorangan dan pernah menyatakan rasa bimbang keselamatan dirinya ekoran pernah berlaku kejadian samun di kampungnya itu.
“Saya cuba menghubungi ibu berkali-kali seawal 8 pagi namun tiada jawapan diterima. Pada tengah hari tadi, saya terima panggilan dari ketua kampung yang suruh saya pulang secepat mungkin tetapi tidak dinyatakan ibunya sudah meninggal dunia.
“Saya tak sangka hasrat ibu saya nak berbuka dan melakukan solat Terawih bersama saya hari ini tidak kesampaian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan DSP Ismail Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut. — Bernama
0 comments:
Post a Comment