ALOR SETAR, 5 Julai: Pasukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau akan menentang pasukan DUN Kota Siputeh pada perlawanan akhir Bola Sepak Piala Menteri Besar yang akan berlangsung di Stadium Darul Aman, di sini pada 10 Julai 2010, jam 8.30 malam.
Pasukan DUN Bukit Selambau mara ke perlawanan akhir selepas mengalahkan pasukan DUN Kubang Rotan 2-0 manakala pasukan DUN Kota Siputeh berjaya mengalahkan pasukan DUN Sungai Tiang 3-1.
Pengarah Kejohanan Bola Sepak Piala Menteri Besar, Ustaz Musoddak Ahmad berkata, penentuan tempat ketiga dan keempat melibatkan pasukan DUN Kubang Rotan menentang pasukan DUN Sungai Tiang akan diadakan di Stadium Suka Menanti pada 10 Julai 2010, jam 9 pagi.
Menurutnya, Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak akan hadir bagi menyaksikan perlawanan akhir itu di mana johan pertandingan itu akan menerima wang tunai RM5,000, piala Menteri Besar dan madel.
Naib johan akan menerima wang tunai RM3,000 dan madel manakala tempat ketiga (RM1,500 dan madel) serta keempat (RM1,000 dan madel). Sijil penyertaan turut diberikan kepada setiap pemenang.
“Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) telah mengenal pasti pemain-pemain yang cukup baik sepanjang kejohanan ini berlangsung melibatkan enam zon di mana lapan pasukan berjaya melayakkan diri ke perlawanan suku akhir yang diadakan di Sungai Petani,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena perlawanan akhir Bola Sepak Piala Menteri Besar di Pejabat Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah, Wisma Darul Aman, di sini.
Ustaz Musoddak menjelaskan, KFA sudah menyenaraikan lima pemain untuk diserapkan ke dalam Liga Super dan KFA akan memanggil lima pemain berkenaan selepas ini.
“Kita akan berbincang dengan Menteri Besar untuk menjadikan kejohanan bola sepak ini sebagai acara tahunan yang melibatkan semua DUN,” katanya.
Pengurus Pasukan DUN Bukit Selambau, Ustaz Zakir Ghazali ketika ditemui berkata, beliau bersyukur kerana pasukannya dapat menyertai pertandingan ini dan akan mempamerkan kesungguhan yang mantap pada perlawanan akhir itu.
Tambahnya, semua pemain akan diturunkan dan diharap pemain-pemain akan menunjukkan semangat kesukanan di mana pemain pertahanan, Munawar Ali akan diturunkan manakala penjaring terbanyak, Syamir dan pemain muda, Firdaus akan mengetuai jentera serangan ke kubu lawan di samping penjaga gol, Mohd. Ashraf.
Pihaknya juga akan mengadakan program motivasi dalam usaha meningkatkan kecerdasan semua pemain sebelum perlawanan itu bermula.
Manakala Ketua Jurulatih Pasukan DUN Kota Siputeh, Ahmad Zalghafari Manaf berkata, pasukannya bukanlah satu pasukan pilihan tetapi akan mempamerkan semangat juang yang tinggi pada perlawanan akhir itu.
“Kecederaan dua pemain kita sudah sembuh dan akan diturunkan pada perlawanan itu dan kita meminta
penyokong-penyokong pasukan Kota Siputeh turun untuk menyaksikan perlawanan akhir yang diadakan di Stadium Darul Aman,” jelasnya.
Kapten Pasukan DUN Bukit Selambau, Munawar Ali menegaskan bahawa pasukannya akan bermain bermati-matian dan bekerja keras untuk memenangi perlawanan itu.
Mohd Nasri yang juga bekas pemain Piala Presiden Kedah pada tahun 2009 yakin dengan semangat juang yang ada pada pemain-pemain pasukan DUN Bukit Selambau.
Sementara itu, Kapten Pasukan DUN Kota Siputeh, Mohd. Nasri Ahmad Tauhid berkata, beliau tidak menyangka pasukannya berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Bola Sepak Piala Menteri Besar.
Beliau yang juga bekas pemain Piala Presiden Kedah pada tahun 2007 memberitahu, pasukannya akan membuat yang terbaik dan bermain dengan semangat yang tinggi untuk menjulang piala Menteri Besar yang pertama kali diadakan pada tahun ini.
0 comments:
Post a Comment