59 orang Wartawan Terbunuh Ketika Menjalankan Tugas

GENEVA: Seramai 59 wartawan terbunuh ketika menjalankan tugas dalam tempoh enam bulan lalu, berbanding 53 dalam tempoh sama tahun lalu, lapor pertubuhan Press Emblem Campaign (PEC), semalam.

Korban tertinggi ialah Mexico dengan sembilan terbunuh sehingga Jun lalu kerana pergerakan jenayah terancang memburu wartawan, kata pertubuhan berpejabat di Geneva itu.

Lapan terbunuh di Honduras manakala enam di Pakistan, empat di Nigeria dan empat lagi di Filipina.

Setiausaha Agung PEC, Blaise Lempen dalam kenyataannya berpendapat wartawan paling terdedah kepada bahaya di negara yang dilanda masalah dalaman.

Lempen berkata, semua kerajaan dan masyarakat antarabangsa perlu bertindak tegas bagi menyekat pembunuhan dan membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Tiga wartawan maut di Russia, tiga lagi di Colombia dan dua di Iraq, Nepal, Thailand dan Venezuela.

Seorang wartawan maut di Afghanistan, Angola, Bangladesh, Brazil, Bulgaria, Cameroon, Cyprus, Ecuador, Israel, Congo, Rwanda, Turki, Somalia dan Yaman.
Lempen berkata, punca pembunuhan berbeza daripada penjenayah terancang di Mexico kepada ketegangan puak di Pakistan dan Nigeria serta membalas dendam politik di Filipina, Caucasus Russia dan Nepal.

PEC yang mendesak perlindungan lebih baik kepada wartawan di zon konflik juga berkata, dua wartawan Perancis ditahan lebih enam bulan di Afghanistan. – AFP

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.