PUAK UMNO TAK TAHU BAHAWA KEROSAKAN DI JALAN TOK KELING MEMANG SEDANG DIBAIKI

Tuan Haji Zulkifli sedang melihat perkembangan jalan yang sedang dibaiki

Timbalan Ketua Umno Bahagian Alor Setar, Guntur Tobeng mendakwa Kerajaan Negeri Kedah tidak menggunakan peruntukan RM70 juta yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat untuk menyelenggarakan jalan-jalan negeri.

Dia mengambil contoh bagaimana jalan di Kampung Tok Keling yang rosak teruk tetapi mendakwa ianya tidak dibaiki sehingga menimbulkan masalah kepada penduduk.

Dakwaannya itu disiarkan oleh RTM, yang sepatutnya menjadi jentera penerangan kerajaan, tetapi menyalahgunakan peranan mereka untuk menjadi ejen propaganda Umno dengan menyiarkan berita tidak benar malahan berunsur fitnah.

Isu kerosakan jalan Tok Keling memang ada dalam pengetahuan dan tindakan Majlis Ketua Kampung (MKK), Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Alor Mengkudu, ADUN Alor Mengkudu YB Dr. Ismail Salleh dan juga JKR negeri Kedah. Semua rangkaian jentera Kerajaan Negeri berperanan dan tidak pernah lepas tangan.

Kerosakan berpunca dari jalan tersebut digunakan secara lasak dengan bebanan berlebihan oleh lori-lori yang mengangkut tanah dan bahan binaan dari Daerah Pendang ke Alor Setar untuk tujuan pembinaan jalan keretapi berkembar oleh Kerajaan Pusat melalui Syarikat Gamuda.

Sementara projek keretapi berkembar siap dan jalan itu tidak digunakan lagi untuk mengangkut tanah dan bahan binaan lain, maka jalan tersebut tidak boleh diturap sepenuhnya. Ia menghadapi kemungkinan untuk rosak kembali.

Apa yang dilakukan oleh JKR ialah menurap dahulu bahagian-bahagian yang mengalami kerosakan teruk. Kaedahnya ialah bahagian tersebut dikorek, diratakan dan diletakkan batu. Ia akan dibiarkan selama sebulan untuk 'dilanyak' oleh kenderaan yang lalu lalang supaya bahagian yang mahu diturap itu menjadi mantap dan kukuh. Selepas itu baru kerja penurapan tar dilakukan. Kaedah itu digunakan di mana-mana.

Sementara ianya diturap akan timbul masalah berbangkit seperti habuk dan ketidakselesaan orang ramai yang menggunakan jalan tersebut. Jalan dari Alor Setar ke Pokok Sena yang sedang dibina juga mengakibatkan masalah habuk dan ketidakselesaan. Mana-mana jalan pun yang sedang dibina masalah yang sama akan timbul. Ia adalah masalah sementara. Takkan kerana tak mahu masalah tersebut muncul maka jalan terus tidak dibaiki.

Selaku pemimpin Umno Bahagian sepatutnya Guntur Tobeng mendapatkan maklumat yang lebih tepat dari JKR, kerana menghentam kerajaan tanpa maklumat yang betul hanya akan menampakkan kebodohan dirinya sendiri.

Yang penting ialah masalah kerosakan jalan di Kampung Tok Keling memang sedang dibaiki dan Kerajaan Negeri tidak pernah lepas tangan. Pemimpin Umno hanya turun sekali sekala untuk menangguk di air keruh, mereka tidak tahu apa-apa mengenai tindakan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri.

Mengenai kerosakan 'yang diakibatkan' oleh pihak Gamuda, JKR telah berbincang dengan Gamuda dan syarikat tersebut akan bertanggungjawab terhadap nilai kerosakan.

Bagaimanapun dalam isu ini pihak PKWR Alor Mengkudu ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak pembangkang di atas 'keprihatinan' mereka, cuma lain kali biar nampak cerdik sikit dalam membangkang bukan main hentam keromo.


Laporan oleh:
ZULKIFLI YAHAYA
Pengarah PKWR Alor Mengkudu
Ketua Penerangan PAS Kawasan Alor Setar.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.