8 Sukarelawan Disahkan Berada Di Kapal Yang Diserang Israel

Lapan rakyat Malaysia disahkan berada di kapal Mavi Marmara - kapal utama flotila enam kapal yang ditugaskan menghantar bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza yang diserbu dan diserang oleh tentera rejim Israel.

ADUN Meri, Dr Abd Rani Osman berkata, lapan rakyat Malaysia itu terdiri daripada enam sukarelawan dan dua wartawan sebuah televisyen berbayar di Malaysia.

Dr Abd Rani yang kini di Instanbul juga mengesahkan melalui SMS kepada Malaysiakini bahawa sekurang-kurangnya 16 aktivis pro-Palestin dibunuh, manakala puluhan lagi cedera dalam serangan itu.

Kapal Mavi Marmara yang dimiliki Turki itu kini dilaporkan dibawa ke Haifa, manakala semua penumpangnya akan dipenjarakan.

Dua wartawan Astro Awani itu dikenalpasti sebagai Ashwad Ismail dan jurugambar dan Samsul Kamal Abdul Latip. Usaha Malaysiakinimenghubungi Ashwad setakat ini tidak berhasil.

Manakala dalam laman Twitter-nya, Ashwad hanya mengemaskinikan statusnya kira-kira 14 jam lalu.

"Mavi Marmara on alert. Semua berada pada tahap tertinggi. Dua pesawat pemantau Drone dipercayai milik Israel kelihatan," coretan terakhirnya sebelum tragedi itu dipetik.

Terdahulu, menurut AFPyang memetik laporan televisyen yang dimiliki Hamas, anggota komando Israel menyerbu sekurang-kurangnya sebuah kapal yang didakwa dipenuhi aktivis pro-Palestin yang berjuang untuk Gaza.

Televisyen Al-Aqsa Gaza, menunjukkan imej video komando Israel yang berpakaian serba hitam turun daripada helikopter dan bertempur dengan kumpulan aktivis, di mana beberapa yang cedera kelihatan terbaring di atas dek kapal itu.

Rangkaian televisyen berkenaan berkata, laporan awal mengesahkan dua aktivis terbunuh manakala 50 yang lain cedera.

Tentera Israel enggan mengulas laporan itu dan penganjur konvoi bantuan berkata, mereka terputus hubungan dengan bot berkenaan.

Kapal itu membawa lebih 700 penumpang, iaitu peringkat terakhir misi berprofil tinggi bagi menghantar lebih 10,000 tan bekalan bangunan dan yang lain ke Gaza, di mana keadaan di situ lumpuh akibat sekatan Israel sejak 2007.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.