Masyarakat Cina tak 'dihukum' : Kenapa ya!!!..........

Setiausaha agung Barisan Nasional, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor (bawah, kanan) berkata kerajaan tidak akan mengabaikan kepentingan masyarkat Cina di Hulu Selangor meskipun majoriti besar mereka menolak Barisan Nasional.

"Kita tak boleh ambil balik peruntukan yang diberikan. Ada juga masyarakat Cina yang mengundi BN dalam pilihan raya kecil itu,” katanya ketika ditanya sama ada kerajaan akan bertindak mengikut cadangan pengerusi PERKASA, Datuk Ibrahim Ali.

Ibrahim pada satu kenyataannya mencadangkan kerajaan supaya tidak lagi melayan tuntutan masyarakat Cina kerana balasan ataupun sokongan yang diberikan tidak seberapa.

Ibrahim berkata amat wajar kerajaan menangguh dahulu apa-apa peruntukan kepada masyarakat Cina.

“Cuma pengundi kaum Cina nampaknya tidak berterima kasih pada kerajaan BN. Jelas pengaruh MCA dan Gerakan ditolak oleh masyarakat Cina.

“Amat wajar kerajaan tanguh dulu apa jua peruntukan dan kelulusan pada masyarakat kaum Cina. Mereka langsung tidak hargai apa yang diberi oleh kerajaan BN, walaupun kerajaan terpaksa menguris hati orang Melayu dan Bumiputera,” kata Ibrahim.

Beliau juga mendesak kerajaan supaya segera meneruskan dasar-dasar afirmatif untuk memperkasakan kaum Melayu dan Bumiputera.

Menurut Tengku Adnan BN sebuah parti pelbagai kaum perlu membantu rakyat tanpa mengira kaum, agama ataupun kepercayaan mereka.

Beliau memberikan kes Kelantan sebagai contoh.

"Malah di Kelantan, kita beri wang yang banyak untuk pembangunan negeri itu meskipun negeri itu tidak dimiliki oleh BN,” katanya.

Tengku Adnan berkata Umno akan bekerjasama erat dengan MCA untuk memahami mengapa pengundi Cina tidak menyokong BN dan bagaimana mengatasi masalah itu.

"Saya percaya jika kita jalankan post mortem (mengenai pilihan raya kecil Hulu Selangor) kita akan mendapat jawapan cara memenangi hati pengundi Cina,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat Umno, di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya lagi, adalah penting bagi semua parti komponen BN bekerjasama mencari penyelesaian dan bukannya menghukum MCA.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.