Kuasa Sultan : Sidang DUN Negeriku bertikam Lidah - Keputusan Speaker Bijak


Sidang DUN Kedah 'panas' pertikaman lidah berkaitan kuasa Sultan


Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini 'panas' apabila berlaku pertikaman lidah antara anggota parti pemerintah dan wakil Barisan Nasional (BN) berhubung bidang kuasa Sultan Kedah sebagai ketua Agama Islam negeri.

Kekecohan tercetus selepas ketua pembangkang Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Pedu) bangun meminta soalan bertulis ketiga (a dan b) Mohd Nasir Mustafa (Pas-Kubang Rotan) ditarik balik.
Soalan (a) ialah Sejauh manakah bidang kuasa KDYMM Tuanku Sultan sebagai Ketua Agama Islam Negeri ini dihormati oleh Kerajaan Pusat dan (b): Setakat manakah tahap tidak boleh campurtangan Kerajaan Negeri Kedah dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam, nyatakan perkara tidak boleh berkenaan.
Mahdzir berkata semasa BN mentadbir kerajaan negeri Kedah, soalan yang menyentuh bidang kuasa Sultan tidak pernah dibangkitkan di DUN dan kuasa baginda juga tidak pernah dipertikaikan.

Penerangan Mahdzir itu bagaimanapun mendapat bantahan anggota penyokong kerajaan negeri yang membawa kepada pertikaman lidah antara kedua-dua belah pihak sehingga ada yang meninggikan suara.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (PAS-Sungai Limau) berkata soalan itu diajukan bagi mendapatkan penjelasan terperinci mengenai bidang kuasa Sultan Kedah berkaitan hal ehwal agama Islam.

Suraya Yaacob (BN-Sungai Tiang) kemudiannnya bangun mempertikaikan kedua-dua soalan itu dengan menjelaskan bidang kuasa Sultan telah termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Speaker Datuk Dr Abdul Isa Ismail akhirnya membuat keputusan supaya kedua-dua soalan bertulis itu ditarik balik.

Abdul Isa mengakui beliau mungkin terlepas pandang perkara berkenaan.

Terdahulu, Ahmad Izzat Shauki (PAS-Bukit Lada) dipilih sebagai Timbalan Speaker selepas namanya dicadangkan oleh Azizan dan disokong Datuk Phahrolrazi Zawawi (Pas-Pengkalan Kundor). - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.