Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2009 Dipamer
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 134,294 permohonan pendaftaran pemilih baru dan 23,028 permohonan pertukaran alamat pusat mengundi dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Pegawai Perhubungan Awam SPR Sabri Said berkata selaras dengan kehendak Peraturan 13(5A) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi Suku Tahun Keempat 2009 akan dipamerkan mulai Isnin ini hingga 2 Mei depan, di 998 tempat di seluruh negara.
Para pemohon yang telah mendaftar sebagai pemilih baru atau membuat pertukaran alamat pusat mengundi boleh menyemak senarai tersebut di pejabat pilihan raya negeri (14 tempat), pejabat pos berkomputer (459 tempat), kompleks/ pejabat kerajaan (96 tempat), pejabat daerah/ pejabat tanah (159 tempat), majlis daerah/perbandaran (50 tempat), dewan serbaguna, rukun tetangga, balai raya, penghulu dan dewan orang ramai (188 tempat) dan lain-lain (32 tempat).
Dalam satu kenyataan, beliau berkata mereka yang baru mendaftar sebagai pemilih tetapi mendapati nama tidak tersenarai dalam daftar itu boleh membuat tuntutan menggunakan Borang B, manakala pemilih berdaftar yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang dalam bahagian pilihan raya tertentu boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C.
Borang berkenaan kemudiannya perlu dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya negeri masing-masing dalam tempoh tujuh hari daftar pemilih itu dipamerkan.
Sabri berkata selain itu, SPR juga mempamerkan senarai nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih.
"Asas SPR mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada Daftar Pemilih kerana mereka ini didapati telah meninggal dunia, lucut hak warganegara dan telah bersara daripada angkatan tentera atau polis di mana mereka ini telah hilang kelayakan sebagai pemilih pos dan sebagainya," katanya.
Sehubungan itu, SPR memohon kerjasama mana-mana waris untuk menghantar salinan sijil kematian atau permit mengubur anggota keluarga mereka yang telah meninggal dunia kepada SPR melalui pos, faks atau datang sendiri ke mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri atau Ibu Pejabat SPR di Putrajaya.
Pemilih berdaftar juga digalakkan menyemak daftar pemilih induk menerusi laman web SPR www.spr.gov.my bagi membetulkan sebarang kesilapan seperti ejaan nama, nombor kad pengenalan, jantina dan alamat rumah atau datang sendiri ke pejabat SPR di Putrajaya atau mana-mana pejabat SPR negeri.- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment