Wakil Rakyat Pendang Berbahas Titah YDP Agong di Parlimen


Bahas titah di Raja Oleh MP Pendang

Ini antara teks ucapan ana semasa berbahas menjunjung kasih atas Titah Baginda Yang Dipertuan Agong semasa meresmikan sidang dewan Rakyat pada 15 Mac lalu.
Ucapan sebenar akan dikeluarkan dalam handsard kemudian, ada antara perkara yang tidak terdapat dan ada penambahan dan kekurangan daripada teks ini boleh dilihat pada handsard nanti.

Perbahasan Titah YDP Agong 2010.

1. Pendidikan dan kesihatan adalah dua perkhidmatan penting yang menjadi kewajipan pemerintah untuk dinikmati oleh rakyat. Oleh itu apa juga persediaan mestilah kepada usaha untuk menjadikan rakyat sihat dan cerdik. Usaha kearah itu perlu dilakukan agar perubatan yang mampu diperolehi oleh rakyat dan pendidikan yang berkualiti dan murah tidak membebankan demi melahirkan generasi yang berilmu , kerana generasi yang berilmu dan cerdik serta sihat lah yang akan membantu membangunkan negara. Kalau negara tidak mempunyai rakyat yang sebegini, sudah pasti akan menemui kesusahan untuk pembangunan negara.

2. Rakyat amat hairan dan ibubapa amat terkilan apabila mendengar peruntukan ratusan juta untuk permata negara padahal dalam masa yang sama peruntukan untuk anak-anak di sekolah biasa khabarnya terpaksa dikurangkan sehingga 10 ke 15 % dek kerana kekangan bajet 2010 yang semakin menguncup pada pembentangan hujung tahun lepas. Keluhan terhadap makanan asrama yang dikurangkan daripada 250 hari setahun kepada 200 hari memaksa sesetengah ibu bapa membawa balik anak mereka disetiap hujung minggu ke rumah, yang sudah pasti akan lebih membebankan kalau mereka tinggal agak jauh, bukan setakat kos minyak, kos tol bahkan masa dan tenaga terbuang begitu sahaja. Begitu juga pakaian pasukan beruniform yang diberikan dizaman Pak Lah telah ditarik balik, peruntukan tuisyen juga sudah ditiadakan.

3. Jadi adakah berbaloi dengan kita memperhebatkan peruntukan pra sekolah melalui permata tetapi mengkesampingkan sekolah aliran perdana yang menjadi intipati utama pendidikan anak-anak disekolah.

4. Ada kedengaran dan disebut didalam parlimen tadi bahawa wujud desakan daripada pihak PIBG sesetengah sekolah di Pahang untuk anak-anak membawa cat kesekolah untuk menceriakan sekolah dengan mengecat semula. Begitu teruk sekali suasana kewangan di kementerian yang nak mendidik anak-anak kita ini. Sampai cat pun ibu bapa kena beri kepada sekolah, konon wang tak cukup, bajet mengecil tetapi ratusan juta disediakan untuk permata negara , pet project isteri perdana menteri. Bahkan ada sekolah yang diberitakan membuka ruang seluas-luasnya untuk ibubapa membayar yuran sekolah sehingga akhir tahun hanya untuk memberikan ruang supaya sekolah dapat duit yuran ini.

5. Apakah benar bahawa KWAM sudah tiada atau menyusut jumlahnya berbanding dulu, bantuan biasiswa sukan sudah tiada terutama mereka yang berada disekolah sukan, RMT , yuran tuisyen yang dimulakan dizaman Pak Lah , pendek kata selagi potongan ini tak sampai 10-15 %, maka senarai ini tak akan berhenti.

6. Saya ingin bertanya apakah khabar ini hanya khabar angin atau memang berita sahih, kerana keluhan ini saya perolehi daripada ibubapa yang anak mereka berada disekolah sukan yang tinggal diasrama.

7. Seperkara lagi yang tak kurang pentingnya adalah masalah kos rawatan perubatan. Pelaksanaan ‘full paying patient’ atau ‘private wing in major government hospital’ akan diteruskan ke semua hospital berkepakaran ini sudah pasti akan menimbulkan rasa tidak senang hati dikalangan rakyat . Apa tidaknya kalau pesakit yang akan membayar kos perkhidmatan untuk mendapat rawatan pakar yang sama akan juga terpaksa melakukan rawatan kepada pesakit yang tidak membayar saperti kos diswasta. Ini sudah pasti akan menimbulkan ‘conflic of interest’ kerana beliau terpaksa melayan pesakit yang membayar melebihi rawatan pesakit biasa yang tidak membayar saperti petani dan penoreh dikampong yang datang kerana dirujuk dari hospital daerah misalnya.

8. Fokus untuk memberi rawatan tentulah lebih kepada mereka yang membayar, walaupun dikatakan hanya boleh dibuat selepas waktu pejabat. Sakit tidak kira jam dan saat. Masa dia datang maka Dr lah manusia yang dia buru. Itu baru petugas yakni Pakar itu sendiri, bagaimana pula dengan kemudahan lain saperti peralatan, dewan bedah, pakar bius dan seangkatan dengannya. Bayangkan kalau ibu yang mengandung hendak bersalin telah menjadi pesakit berbayar dan pakar bius sedang merawat pesakit biasa yang tak berbayar, apakah pakar bius yang akan memberi bius untuk LSCS padahal pesakit telah membayar akan meninggalkan pesakit yang tak berbayar tadi untuk melayan pesakit yang membayar tersebut.Sudah pasti pakar tadi berada didalam dilema.

9. Perlu diingat bahawa didalam negara kita yang terdiri daripada 28 juta rakyat, 60 % masih lagi didalam kategori miskin.

10. Pelaksaan skim FPP ini dilakukan pada awalnya adalah satu usaha untuk menghalang daripada doktor pakar berhijrah kesektor swasta , tetapi kerajaan kena membuat kajian yang lebih lagi berhubung perkara hijrah ini kerana bukan setakat gaji yang menjadi teruhan tetapi dari segi khidmat dan kemudahan lain perlu juga diberikan perhatian didalam membendung masalah ini. Kewujudan terlalu banyak hospital swasta didalam sesuatu kawasan sudah pasti akan menjadi daya tarikan kepada bertambahnya penghijrahan ini berlaku. Menghadkan jumlah kewujudan hospital swasta ini perlu difikirkan seccara serius juga untuk keutuhan sistem di hospital awam. Khidmat sokongan termasuk peralatan canggih dan terbaru perlu diwujudkan dihospital awam selari dengan yang ada di swasta, barulah khidmat yang diberikan menimbulkan rasa kepuasan kepada para pakar tadi.

11. Mengujudkan skim perkhidmatan yang lebih baik serta peluang kenaikan pangkat dan memberikan insentif yang lumayan sudah pasti akan mengurangkan penghijrahan ini.
Pada masa ini , daripada keseluruhan doktor yang ada didalam negara ini, 30 % doktor yang bertugas di hospital awam terpaksa merawat 70 % pesakit yang datang berbanding dengan 70 % doktor disektor swasta yang merawat 30 % pesakit disana. Perkhidmatan yang tidak seimbang ini sudah tentu akan menjadikan kerjaya disektor awam begitu membebankan sehingga berlaku punca kepada penghijrahan kesektor swasta ini.

12. Kita bimbang pelaksanaan FPP bukan nanti menghalang Doktor berhijrah tetapi ia akan menjadi push faktor pula untuk menambah lagi syarat untuk dr berhijrah keluar kerana ratio sekarang masih jauh daripada standard iaitu 1: 1,105 pesakit.

13. Memang sudah terang lagi bersuluh, tindakan awal didalam usaha untuk membuka ruang kepada penswastaan sepenuhnya hospital saperti kerja-kerja yang lain yang sedikit demi sedikit telah terlaksana sekarang di bahagian pembekalan ubat, dobi, pembersihan, pelupusan sisa perubatan dan lain lagi kesemuanya yang melibatkan enam perkhidmatan sekarang ini dihospital awam telah berlaku.

14. Sebab itulah kalau sesuatu pembedahan itu hendak dilakukan dan memerlukan sesuatu peralatan atau prosthesis saperti kanta mata, besi untuk patah dan sebagainya pesakit diarahkan membeli dahulu sebelum pembedahan dapat dijalankan. Ada barang ada pembedahan, atau kena hutang dan bayar kemudian. Kalau tidak, tunggulah disitu melainkan ada peruntukan daripada tabung bantuan perubatan yang diluluskan.

15. Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan baru-baru ini dlm akhbar 17 Mac 2010 menyatakan Kementerian akan melaksanakan penghantaran ubat kerumah melalui pos laju. Saya ingin tahu apakah jenis penyakit yang akan dihantar melalui pos ini . Alasan yang diberikan adalah untuk mengurangkan kesesakan dihospital dan memudahkan pesakit kerana menjimatkan masa. Bagaimana dengan pemeriksaan sebelum rawatan diberikan misalnya darah tinggi ke, kencing manis ke ,epilepsy ke atau lain-lain penyakit yang memerlukan pemeriksaan dan diagnosa tepat sebelum rawatan diberikan.

16. Apakah kementerian sudah mulai lari daripada konsep asal rawatan iaitu mesti melakukan diagnosa dahulu kemudian baru merawat kerana bagi rawatan sambungan saperti ini , ia memerlukan pemeriksaan berkala dan setelah doktor berpuas hati barulah rawatan diteruskan atau pun perlu kepada penambahan dos atau pengurangan dos bergantung kepada hasil pemeriksaan atau ujian makmal kalau diperlukan.

17. Apakah konsep klinik 1 Malaysia juga akan digunakan disini kerana tidak perlu pemeriksaan doktor , hanya pembantu perubatan sahaja terus dirawat, atau hanya pegawai farmasi sahaja yang memainkan peranan . Apakah kalau terjadi sesuatu komplikasi, maka pembantu perubatan atau pegawai farmasi ini boleh dipertanggungjawabkan.

18. Satu persoalan yang merunsingkan saya sebagai pengamal perubatan adalah kewujudan klinik 1 Malaysia ini, nak dikatakan dibawah hospital tidak, dibawah PKD pun tidak, bahkan kalau swasta pun sudah pasti tidak. Didalam RUU Akta 586 penjagaan kesihatan swasta, yakni menubuhkan klinik mestilah diketuai oleh seorang pegawai perubatan yang berdaftar dengan MMC dan diperbaharui sijil amalan tahunan setiap tahun, premis mesti menepati kriteria tertentu umpamanya saiz pintu, kemana pintu dibuka dan arah pintu, berapa jumlah pintu serta apa peralatan yang perlu ada didalam klinik dan semua ini termasuk didalam syarat untuk menjadi sebuah klinik, jadi dimanakah letak Klinik 1 Malaysia ini. Setelah semuanya ada barulah bahagian amalan swasta akan datang memeriksa dan meluluskan untuk boleh beroperasi dibawah pengendalian pegawai perubatan berdaftar dengan MMC.

19. Sekiranya dibawah PKD, PKD manakah yang bertanggung jawab, kalau dibawah hospital unit manakah yang mengendalikan klinik ini. Janganlah kepada pengamal swasta kita kenakan deraan dengan berbagai karenah birokrasi yang berat-berat, tetapi bagi klinik 1 M ini, semuanya boleh. Siapakah nanti yang menanggung risikonya.

20. Dr T Jayabalan, yang mewakili pekerja dan Majlis Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) penasihat kesihatan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
mendakwa, kajian klinik-klinik 1Malaysia mendapati ada pegawai pembantu perubatan memberikan ubat yang silap kepada pesakit.
Kajian berkenaan didakwa dilakukan di Kampar, Perak.
“Mereka memberi preskripsi untuk ubat yang salah dan ada juga yang membekalkan ubat yang mereka tidak ditauliahkan untuk berbuat demikian.
"Ada juga yang didapati gagal mengenalpasti sakit yang dihadapi oleh pengunjung klinik itu,”.

21. Baru beberapa bulan Klinik 1M ini dibuka, sudah ada kes sebegini, saya bimbang banyak lagi kes kesilapan diagnosa dan rawatan serta kesilapan memberi preskripsi akan berlaku sekiranya amalan ini diteruskan , pastinya Pembantu Pegawai Perubatan tidak mampu untuk dipertanggungjawabkan seandainya sesuatu yang tidak diingini berlaku.

22. Saya juga ingin mendapat penjelasan daripada Kementerian Pelajaran berhubung mengkategorikan pelajar cemerlang SPM yang kerap mengelirukan rakyat terbanyak apabila sahaja keputusan diumumkan. Sebagai contoh pada keputusan SPM 2009 lalu, pelajar cemerlang peringkat negara Gladys Tan Yee dari Sek Men Keb Green Road Kuching mendapat 10 A+, beliau dinobatkan sebagai pelajar cemerlang negara , tetapi kalau ditinjau daripada keputusan , ada pelajar lain yang lebih daripada itu saperti Saudara Zamer Eizaaz Ab Raihan dari maahad Tahfiz Al Quran Pulai Chondong yang mendapat 14A ( 13 A+ dan 1A) serta hafiz 30 juzuk , dan Ahmad Harith Zabidi Azhar dari Maahad Muhammadi Lelaki 15A ( 12A+, 2A, 1A-), Habibah Hanan Mat Yusof dari Maahad Muhammadi Perempuan 15A (10A+). Cemerlang apa maknanya begini , apakah banyak A+ yang diperoleh atau dari mana sekolah dimana pelajar datang?.

Media perlu bebas dari kongkongan fitnah.

Di negeri Pakatan Kedah misalnya, media tidak menyebarkan kerja yang dibuat Kerajaan yang memerintah tetapi menyiarkan tugas wakil rakyat pembangkang, bahkan tugas ketua UMNO pun dimasukkan didalam RTM , tetapi apa program yang dihadiri MB untuk menfaat rakyat langsung tidak diberikan liputan. RTM nampaknya sudah tidak menjadi lagi Media kerajaan tetapi sudah menjadi media parti politik UMNO BN di Negeri Pakatan Rakyat.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.