Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) hari ini membuat 13 laporan polis terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu “16 September” yangdidakwa menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan sokongan politik.
Kira-kira 50 anggota pertubuhan itu sebelumnya berarak daripada Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Sentul - berdekatan dengan tempat itu - selepas perasmian mesyuarat agungnya.
Menurut ketua Wiranya Arman Azhar, sebanyak 13 laporan itu dibuat terhadap ketua pembangkang itu secara berasingan oleh wakil PERKASA daripada 13 negeri di seluruh negara.
Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan tersebut tengah hari tadi, Arman berkata, mereka membuat laporan tersebut bagi “mempertahankan institusi raja-raja Melayu.”
Beliau juga mempersoalkan kenapakah polis tidak mengambil tindakan terhadap bekas timbalan perdana menteri itu sedangkan telah banyak laporan dibuat terhadapnya.
“Apa beza antara Anwar dan rakyat Malaysia yang lain?” soalnya yang berpakaian Melayu lengkap dengan bersamping dan bersongkok.
Bekas ahli parlimen PKR Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim sebelum ini dilaporkan berkata Anwar menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong dan pasukan tentera dalam usaha membentuk kerajaaan Pakatan Rakyat.
Arman berkata, dalam laporan yang sama juga, PERKASA juga membuat laporan terhadap penyebaran VCD ulama terkenal Dr Yusof Qardawi yang mengulas isu tuduhan liwat terhadap Anwar.
Laporan itu turut meminta polis menyiasat penyebaran surat yang ditandatangai oleh setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail yang menyifatkan tuduhan terhadap Anwar adalah fitnah.
Menurut Arman, tindakan tersebut mengganggu proses mahkamah yang masih berlangsung.
0 comments:
Post a Comment