KUALA LUMPUR, 27 Mac — Barisan Nasional (BN) akan mengekalkan status quo dengan meletakkan wakil MIC bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor walaupun Umno Selangor juga menunjukkan minat turun gelanggang.
The Malaysian Insiderdifahamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno malam tadi dikatakan membayangkan akan “terus menghormati” keputusan ketika pilihan raya umum 2008.
“Umno akan menghormati persetujuan yang telah dibuat... Datuk Seri Najib juga mahu perkara ini diterima,” kata seorang anggota MT yang ditemuiThe Malaysian Insider.
Bagaimanapun anggota itu menambah, MT tidak menyentuh soal itu malam tadi.
“Tiada perbincangan langsung soal itu tetapi kami akan menghormati kata persetujuan yang telah diamalkan sebelum, bermakna MIC akan bertanding,” kata anggota itu lagi.
Anggota itu secara peribadi berpendapat bahawa MIC sebagai komponen BN yang pernah bertanding dua tahun lalu wajar meneruskan tradisi kali ini.
MIC telah bertanding di kerusi itu sejak 1980-an.
Bagaimanapun anggota MT itu secara berseloroh berkata Umno akan menyokong Datuk G. Palanivel tetapi berharap “akan datang sebagai Palanivel baru.”
“Memang ada perbezaan pandangan tetapi itu perkara biasa, tetapi itu tidak pernah bermakna kita akan mengetepikan perjanjian masa lalu,” katanya.
Malam tadi, Najib berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu berhubung soal calon BN bagi kawasan Hulu Selangor.
“Saya akan mengadakan pertemuan dengan Presiden MIC,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno.
Najib yang juga Pengerusi BN mengulas mengenai kenyataan Samy Vellu semalam untuk meletakkan semula Palanivel sebagai calon di Hulu Selangor.
Pada masa yang sama Umno Selangor juga mahu partinya diberikan peluang bertanding di kawasan itu.
Kerusi itu kosong ekoran kematian penyandang jawatan Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad kelmarin.
Palanivel tewas di tangan Zainal dengan perbezaan 198 undi pada 8 Mac 2008.
Suruhanjaya Pilihan Raya akan menetapkan tarikh pilihan raya pada Jumaat ini.
Salam Ustaz,
ReplyDeleteMusykil juga dengan PRK Hulu Selangor ni, pasai menang dulu pun beza undi tak banyak...