Bergelar Doktor Pada Usia 75 tahun - Tan Sri Jins Shamsuddin



SINTOK 27 Mac – Pengorbanan dan kesungguhannya menuntut ilmu pada usia 75 tahun, akhirnya menghasilkan kejayaan apabila Tan Sri Jins Shamsuddin hari ini menerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini.

Kejayaan manis itu datang setelah beliau bersusah payah melengkapkan kajian tesis selama dua tahun.

"Saya tidak pernah menganggap semua ini cabaran walaupun terpaksa sering berulang-alik dari Kuala Lumpur ke sini, kerana ia akan membuat kita mudah mengalah.

"Sebaliknya saya menganggap ia adalah satu tanggungjawab yang perlu diteruskan sehingga selesai,” kata Jins atau nama sebenarnya Mohamed Zain Shamsuddin, anak kelahiran Taiping, Perak.

"Dengan kejayaan ini juga, saya harap ia dapat memberi galakan kepada semua karyawan seni terutama generasi muda untuk terus belajar sehingga ke akhir hayat,” kata penggiat seni ini selepas menerima ijazahnya daripada Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang juga Canselor UUM.

Beliau melengkapkan tesis bertajuk “Filem Melayu 1930-an hingga 1960-an Sebagai Citra Budaya dan Sejarah Negara”, di mana beliau memilih 50 filem Melayu dari sepanjang tahun berkenaan untuk dijadikan sampel kajiannya. – Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.