BUKIT MERTAJAM 9 Mac - Perbicaraan kes Ahli Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan yang didakwa menghalang tugas seorang anggota polis semasa pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir tahun lalu.
Dalam perbicaraan semalam pihak pendakwaan belum lagi menyerahkan seluar dan tali pinggang milik tertuduh yang masih dalam simpanan polis walaupun arahan memulangkannya sudah dikeluarkan.
Ini menyebabkan Majistret Mohd Azhar Hamzah mengeluarkan arahan buat kali kedua supaya barang kepunyaan milik pemimpin KEADILAN itu dipulangkan.
Sebelum itu peguam J.M. Martin yang mewakili Gobalakrishnan memohon supaya tindakan menghina mahkamah dikenakan terhadap pihak pendakwaan kerana tidak mematuhi arahan tersebut.
Mohd Azhar menetapkan esok untuk mahkamah membuat keputusan berhubung permohonan menghina mahkamah itu sebelum perbicaraan dimulakan.
Gobalakrishnan dihadapkan ke mahkamah pada 18 Ogos tahun lalu atas tuduhan menggunakan kekerasan jenayah ke atas Sub Inspektor M. Karunamuthi bagi tujuan menghalangnya daripada menjalankan tugas.
Dia dituduh melakukan perbuatan tersebut pada hari penamaan calon PRK Permatang Pasir kira-kira pukul 11 pagi 17 Ogos tahun lalu di hadapan Institut Kemahiran Belia Negara di sini.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika didapati bersalah.
0 comments:
Post a Comment