Pemuda UMNO Pertikai Bantuan Zakat Sek. Agama Rakyat


Selangor diminta jelas pembahagian RM200j zakat

Beberapa pemimpin pembangkang di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat tidak yakin dengan data yang diumumkan sebagai petunjuk prestasi pentadbiran negeri tersebut.

Isu berkaitan bantuan yang dihulurkan kepada rakyat, hasil yang diraih kerajaan, aktiviti pelaburan serta kerancakan ekonomi sebenar yang dirasai di negeri tersebut masih dipersoalkan.

Di Selangor, Pemuda Umno negeri itu menuntut kerajaan Pakatan mendedahkan baki daripada kutipan zakat yang disalurkan sebagai bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri itu.

Ketuanya, Suhaimi Mohd Ghazali berkata kerajaan Pakatan perlu tampil menjelaskan bagaimana kutipan zakat berjumlah lebih RM200 juta itu dibahagikan.

"Kerajaan pakatan perlu jelaskan bagaimana baki daripada kutipan zakat itu digunakan bagi memberi sumbangan kepada masyarakat Islam di Selangor," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya pandangannya ke atas prestasi pentadbiran negeri Selangor selama dua tahun di bawah pakatan.

Pakatan semalam mengeluarkan beberapa petunjuk ekonomi di negeri-negeri tadbirannya, termasuk Selangor yang mencatat jumlah pelaburan sebanyak RM6.76 bilion tahun lalu.

Negeri itu juga dilaporkan berjaya menyalurkan peruntukan sebanyak kira-kira RM6 juta kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) sepanjang 2010.

"Zakat ini adalah untuk orang Islam. Dulu ada cadangan untuk kerajaan Pakatan beri juga duit zakat ini kepada orang bukan Islam, jadi mereka kena jelaskan asnaf mana lagi yang dapat (duit zakat)," katanya.
Tambahnya, kerajaan itu juga perlu menjelaskan bagaimana ia berjaya memperuntukkan RM5.5 bilion untuk pembinaan rumah rakyat dan membaik pulih projek rumah terbengkalai di negeri itu.

"Sedangkan kutipan (hasil) negeri itu cuma berjumlah RM1.76 bilion sahaja. Ini satu pembohongan kalau mereka tidak dapat jelaskan punca RM5.5 bilion itu," katanya lagi.
Mengulas lanjut, Suhaimi berkata Selangor juga masih gagal menunaikan beberapa manifesto pilihanraya 2008 mereka, termasuk pengurangan cukai pintu dan bantuan kepada beberapa golongan sasaran.

"Yang kita boleh nampak setakat ini hanya bekalan air percuma, tetapi pengurangan cukai pintu, bantuan kepada anak yang masuk universiti dan yang masuk tadika tidak ada." katanya.
Manakala di Kedah pula Timbalan Pengerusi Umno negeri Datuk Ahmad Bashah Md Hanifah mendakwa kerajaan Pakatan pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak "tidak mampu" untuk mentadbir negeri.

Menurutnya, jumlah perlaburan sebanyak 839 juta seperti yang dilaporkan, hanya sekadar angka semata-mata.
"Pembangunan tidak ada, boleh cerita sahaja, itu sekadar angka," katanya

Sebaliknya beliau mendakwa pelabur asing lari dari melabur di negeri itu, kerana mereka tidak begitu yakin dengan pentadbiran Pakatan.
Beliau memberi contoh program penapisan minyak yang dijalankan di Yan yang didakwanya "tidak jadi".

Menurutnya lagi, beliau juga menerima rungutan peniaga terutama di kawasan Sungai Petani dan Alor Star yang mendakwa tidak mempunyai bisnes di negeri itu.
Ahmad Bashah juga mendakwa tidak lagi mendengar perkembangan terkini perindustrian dan perkilangan antaranya di Kulim Hi-Tech dan kawasan perkilangan yang lain.

Ditanya mengenai tahap kelicinan pentadbiran kerajaan negeri, Ahmad Bashah mendakwa wujud keluh kesah masyarakat Melayu, Cina dan India yang mempertikaikan kemampuan kerajaan negeri.
"Janji pilihan raya tidak ditunaikan. Rakyat dapat menilai. Sepatutnya kalau dua tahun boleh ada kemampuan untuk membuat perubahan tapi saya tidak dengar.

"Rakyat mengharapkan ketelusan dan perubahan, tapi tak nampak," katanya.
Sementara seorang pemimpin kanan Umno Pulau Pinang, Datuk Arif Shah Omar Shah pula berkata kerajaan Pulau Pinang tidak memberikan apa-apa maklumat baru daripada kenyataan berhubung prestasi kerajaan pakatan yang diumumkan semalam.

ADUN Seberang Jaya itu berkata, tidak ada apa yang hendak dibanggakan daripada kenyataan berkenaan kerana ia tidak menggambarkan situasi sebenar di negeri berkenaan.
Beliau mengambil contoh kelulusan sebanyak 104 projek industri yang diluluskan kerajaan negeri itu sebenarnya bernilai lebih rendah daripada jumlah projek yang diluluskan kerajaan BN sebelum ini.

"Projek yang diluluskan kerajaan dulu bernilai lebih RM10 billion, tetapi nilai projek yang diluluskan mereka sebenarnya tidak sampai pun RM3 billion," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Jelasnya, lebihan belanjawan negeri itu sebanyak RM88 juta, juga tidak menunjukkan cara perbelanjaan yang berhemah.

"Ini tidak menghairankan sebab sememangnya akan meningkat setiap tahun daripada bayaran emolumen, khususnya untuk bayar gaji kakitangan. Gaji mereka setiap tahun akan ada kenaikan," katanya lagi.
Tambahnya, kerajaan negeri juga gagal menyelenggara infrastruktur di negeri itu dengan baik, khususnya longkang dan jalan raya.

"Taman perumahan di Seberang Jaya ini, kalau hujan selama satu jam saja sudah banjir. Kalau dulu hujan lebat tiga jam pun belum banjir lagi. Ini sebab pembersihan tidak dijalankan dengan baik," katanya lagi.
Tambahnya, dakwaan negeri itu berjaya menghapuskan kemiskinan tegar sepenuhnya juga merupakan satu pembohongan.

"Mana boleh dihapuskan seratus peratus? Kalau hari ini dihapuskan kemiskinan tegar daripada 300 keluarga, bila habis duit bantuan yang dia bagi RM500 itu, bulan depan akan ada lagi 100 orang. Maknanya masalah ini tidak akan selesai," katanya lagi.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.