Dengan kelebihan sebagai bekas 'ayam tambatan' Datuk Seri Anwar Ibrahim - yang dilihat masih mempunyai pengaruh dalam sayap Pemuda PKR - dan kemahiran pidatonya, Ezam dilihat lebih berkemampuan mengasak pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.
Sehubungan itu, difahamkan, beliau kini diberikan kepercayaan oleh kepimpinan Umno pusat untuk dilantik sebagai senator, seterusnya diberikan lebih banyak tugas di Selangor - antara negeri terkaya di Malaysia.
Tambahan lagi, usaha BN 'menyerang' negeri itu melalui perlbagai cara dan isu - termasuklah isu pembinaan ladang babi di Sepang, pengawalan jualan arak, hubungan PAS-DAP dan isu gambar intim exco Elizabeth Wong - sepanjang dua tahun ini belum mendatangkan hasil yang memberangsangkan.
Dalam masa yang sama 'persaingan' antara dua teraju Umno negeri - timbalan pengerusi Umno negeri Datuk Seri Noh Omar dan bekas menteri besar Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo - dilihat membantutkan lagi usaha tersebut.
Justeru, kemasukan Ezam dilihat sebagai penyelamat dan bakal menjadi 'pasukan ketiga' di antara kedua-dua pemimpin berpengaruh dalam Umno Selangor itu.
Difahamkan Ezam dibawa masuk ke pentadbiran perhubungan Umno negeri pimpinan Datuk Seri Najib Razak dan Noh melalui penubuhan badan baru, dinamakan Sekretariat Selamatkan Darul Ehsan (SSDE) baru-baru ini.
Gandingan lama, MP bebas turut serta
Kesemua program 'Selamatkan Selangor' dirancang dan dilaksanakan melalui sekretariat ini, di mana Ezam difahamkan diberikan peranan besar dalam merancang strategi ke arah usaha itu.
Walaupun masih belum jelas jawatan sebenarnya, tetapi Ezam dilihat mempunyai pengaruh besar dalam sekretariat itu.
Ini dibuktikan dengan penyertaan beberapa gandingan lamanya dalam PKR, iaitu Exco Pemuda Umno Lokman Noor Adam, Zahid Mat Arip - kedua-duanya bekas pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) - dalam kempen itu.
Difahamkan juga sepanjang 19 siri ceramah kecil - dengan sasaran 500 orang - beberapa bekas ahli parlimen Pakatan yang melompat parti seperti Datuk Seri Zahrain Mohammed Hashim(Bayan Baru) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) akan terlibat.
Bagaimanapun difahamkan Dr Mohd Khir tidak terlibat berceramah dalam program fasa pertama ini - tindakan yang memarakkan lagi desas-desus masalah 'persaingannya' dengan Noh.
Bagaimanapun, beberapa pemimpun muda PKR terus menafikan kemampuan Ezam sebagai 'bos' lama mereka.
"Kita lihat bagaimana hasilnya di Selangor. Beliau (Ezam) tiada kewibawaan di mata awam sama sekali, politiknya old school (gaya lama)," kata ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad sambil menggesa Ezam bertanding di dalam pilihan raya bagi membuktikan kemampuan sebenarnya.
Malah, Nik Nazmi - yang mengaku pernah menjadi aktivis Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (GERAK), NGO yang ditubuhkan Ezam - berpendapat Najib merupakan pelindung sebenar bagi Ezam.
"Ezam perlukan seseorang untuk lindunginya. Macam jin cari tuan. Kita kenal dia cukup lama.
"Kalau dia berani, biarkan dia bertanding (dalam pilihan raya)," katanya kepada Malaysiakini.
0 comments:
Post a Comment