Apa UMNO Pulau Pinang buat ketika jadi 'tunggangan' Gerakan?

Ahmad Tajdid

"JIKA pemimpin Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) dan PAS berterusan membiarkan mereka menjadi tunggangan DAP, jangan terkejut sekiranya Pulau Pinang muncul sebagai Singapura kedua satu hari nanti," kata Ketua Penerangan Umno negeri, Dato' Musa Sheikh Fadzir.

Itu bukanlah pertama kali ungkapan-ungkapan berbentuk hasutan dan berbau perkauman itu dilafazkan para pemimpin Umno Pulau Pinang sejak negeri itu terlepas dari tangan BN.

Sejak Mac 2008, muncul pelbagai 'gerakan Melayu' dari pelbagai NGO yang beriya-iya mahu memperjuangkan nasib Melayu Pulau Pinang. Ironinya gerakan-gerakan ini muncul setelah BN kecundang di tangan Pakatan Rakyat dan Umno yang menjuarai kepentingan Melayu hanya menjadi pembangkang di Dewan Undangan Negeri. seolah-olah orang Melayu di negeri itu 'tidak apa-apa' ketika diperintah BN dan hanya merasa tertindas dan terpinggir di bawah teraju Pakatan Rakyat khususnya DAP.

Apa yang cuba ditonjolkan pemimpin Umno adalah masyarakat Melayu Pulau Pinang kini 'menderita dan merempat' kerana diperintah oleh seorang Ketua Menteri dari DAP yang dilabel "anti-Melayu" dan "anti-Islam".

Dan bagi mereka, KeADILan dan PAS tidak sewajarnya bersekongkol dengan DAP untuk menindas Melayu Pulau Pinang yang kini bagaikan berada di hujung tanduk.

Sentimen dan tuduhan liar yang dilemparkan pemimpin Umno negeri terhadap Lim Guan Eng sebenarnya tidak langsung disandarkan kepada fakta dan angka. Ia sekadar strategi untuk membuai sentimen Melayu dan mengingatkan mereka terhadap nostalgia silam bahawa Melayu pernah bertapak di pulau mutiara itu.

Mungkin mudah bagi para pemimpin Umno melemparkan pelbagai tuduhan berunsur hasutan kerana mereka seolah-olah punya imuniti dan kebal dari pelbagai akta drakonian yang hanya dikuatkuasakan ke atas pemimpin politik bukan kerabat BN.

Bagaimanapun jika pemimpin Umno negeri itu masih mempunyai sedikit rasa malu dan sekelumit maruah diri, mereka wajar menilai prestasi dan "jasa-jasa" mereka sejak lebih 50 tahun menjadi "kuda tunggangan" MCA dan Gerakan ketika bersama-sama mentadbir Pulau Pinang.

Isu terpinggirnya Melayu dari pulau mutiara itu bukan berkisar sejak dua tiga tahun pemerintahan Pakatan Rakyat. Ia bermula sejak puluhan tahun lalu apabila satu demi satu perkampungan Melayu di pulau tersebut 'dihanyutkan' oleh arus pembangunan.

Lebih mendukacitakan apabila proses penghijrahan masyarakat Melayu dari bahagian pulau ke tanah besar Semenanjung (Seberang Prai dan selatan Kedah) turut didalangi oleh pemimpin-pemimpin politik Melayu yang mendapat 'faedah' daripada projek yang dibangunkan.

Bagi mengelakkan isu ini dari terus diputarbelitkan para pemimpin Umno, kerajaan Pakatan Rakyat negeri perlu mendedahkan fakta tentang jumlah sebenar kampung Melayu (termasuk kampung setinggan) yang 'hilang' daripada peta Pulau Pinang akibat projek pembangunan ketika Umno dan BN mentadbir negeri itu.

Pastinya fakta dan angka itu turut melibatkan perkampungan Melayu Jelutong yang kini diancam projek pembangunan hasil keputusan yang dibuat ketika Umno dan BN memerintah Pulau Pinang.

Lebih memualkan, kini para pemimpin Umno negeri dilapor keluar masuk kampung menyebarkan pembohongan kononnya pemimpin PAS dan KeADILan berpakat dengan kerajaan DAP untuk melenyapkan perkampungan Melayu!

Seperti dakyah Musa yang dilaporkan Utusan Online: "Pemimpin PKR dan PAS di negeri ini sebenarnya kalau hendak bantu selesai apa jua masalah membabitkan orang Melayu, mereka sebenarnya boleh.

"Tapi disebabkan sudah menjadi tunggangan DAP, jadi mereka takut nak bersuara. Kalau kita tengok di Pulau Pinang ini apa yang mereka dah buat untuk bantu orang Melayu, bila gerai atau rumah Melayu 'dicuit' mereka buat apa, takkan dah hujung baru nak sedar, masa tu dah tak boleh nak buat apa dah."

Begitulah mudahnya pemimpin Umno melemparkan tuduhan sedangkan segala permasalahan dan kemelut Melayu Pulau Pinang hari ini adalah hasil daripada sikap tidak endah, tidak acuh, tidak ambil peduli dan tidak bertanggung jawab mereka ketika lebih 50 tahun berkongsi kuasa mentadbir negeri itu.

Tambah Musa lagi: "Ketua Menteri, Lim Guan Eng orang Melaka, jelas dia pun bukan tahu jaga kepentingan orang Melayu, tidak sama semasa Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mentadbir negeri ini, apa pun yang diminta tidak kira kaum apa, beliau pasti ambil perhatian."

Ketika terlanjur memuji Tsu Koon, mungkin Musa terlupa bahawa Presiden Gerakan itu pernah dikecam dan dikoyak gambarnya oleh pemimpin Umno negeri khususnya bahagian Jelutong kerana didakwa mengetepikan kepentingan Melayu.

Musa juga terlupa bahawa Umno negeri itu kini diterajui oleh anak Bagan Datoh, Perak yang tiada kena mengena langsung dengan Melayu Pulau Pinang.

Satu lagi yang pemimpin Umno negeri perlu sedari, Guan Eng kini disifatkan sebagai 'pro-Islam' oleh seorang pemimpin Gerakan negeri, parti kerabat BN di Pulau Pinang.

Tapi apakan daya sudah menjadi resam Umno, telunjuk lurus kelingking berkait. Memang benar ungkapan Tun Mahathir Mohamad, "Melayu mudah lupa!"


Harakah Daily

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.