MP Kapar kecewa, tolak Selcat siasat dakwaan rasuah

KUALA LUMPUR, 13 Mei — Ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam tetap dengan berpendirian dakwaan rasuah dalam anak syarikat kerajaan negeri Selangor yang bertanggungjawab ke atas perniagaan pasir, Kumpulan Semesta Sdn Bhd patut disiasat oleh sebuah badan bebas.

Dengan nada kecewa, anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR itu berkata, beliau sebenarnya telah mengharapkan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim akan menubuhkan sebuah badan bebas, tetapi memutuskan untuk merujuk isu berkenaan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).

“Secara peribadi saya tidak yakin dengan Selcat... saya mahukan sebuah badan bebas, saya kekal dengan pendirian saya,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider pagi ini sambil mempersoalkan bagaimana hendak menyiasat kes membabitkan “orang dalam sendiri” oleh sebuah badan dalaman negeri.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut maksud “orang dalaman sendiri” kecuali mengatakan ia membabitkan pegawai atasan syarikat itu.

“Dalam kes-kes melibatkan anggota polis, kita sentiasa menuntut agar diadakan sebuah badan bebas untuk menyiasat dakwaan dengan bebas dan adil.

“Tetapi dalam kes ini, kita menggunakan Selcat... mana boleh kita mengharapkan ketelusan?” katanya.

Manikavasagam (gambar) berkata beliau akan mengadakan pertemuan semula dengan rakan-rakan Ahli Parlimen yang kelmarin menggesa kerajaan negeri menubuhkan sebuah badan siasatan bebas dalam isu ini.

“Saya akan jumpa mereka hari ini dan kami akan membuat keputusan nanti,” katanya.

Mengenai alasannya menolak Selcat, kata wakil rakyat itu, pada pertemuan semalam Menteri Besar memberikan pandangan bahawa akan mengadakan sebuah badan “seakan Selcat”, bukannya memberi peranan menyiasat kepada Selcat.

Selain itu, Manikavasagam menegaskan, sekiranya Selcat terus diberi amanah untuk menyiasat kes tersebut, beliau tidak mahu Speaker Dewan Undangan Negeri Teng Chang Khim mengetuai siasatan berkenaan atas alasan “konflik peribadi” mereka.

Beliau merujuk kepada isu masalah terminal bas di Klang awal tahun lalu.

Ketika itu Teng didakwa menuduh wakil rakyat itu berlagak sebagai “pembangkang dan pembohong” dalam isu bantahan pemindahan Terminal Bas Klang Utara yang berusia 50 tahun.

“Saya tidak mahu Teng, saya tidak yakin dengan Teng,” kata beliau dengan mengesyorkan orang lain termasuk kemungkinan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Haniza Mohamed Talha yang juga Adun Taman Medan sebagai pengerusi siasatan Selcat.

Semalam, Khalid berkata kerajaan negeri berharap Selcat yang dipengerusikan oleh Teng akan dapat bertindak segera mengenai dakwaan itu supaya satu sesi pendengaran awam dapat dijalankan.

“Kerajaan negeri memberi arahan kepada semua kakitangan jabatan kerajaan dan pegawai Kumpulan Semesta untuk memberikan kerjasama penuh kepada Selcat dalam pendengaran itu,” katanya.

Kata beliau, jemaah Exco berpendapat Selcat adalah forum terbaik untuk membincangkan dakwaan ini kerana ia dilakukan secara terbuka dan maklumat serta fakta yang diberikan tidak disembunyikan dari pengetahuan umum.

Khalid berkata, keputusan merujuk dakwaan rasuah itu kepada Selcat dibuat setelah beliau menerima dan meneliti aduan rasmi yang dikemukakan oleh Manikavasagam sendiri dalam satu pertemuan pagi semalam.

Manikavasagam juga membuat laporan polis berhubung dakwaan itu semalam.

Ahli Parlimen itu berkata, Khalid yang juga Pengerusi PKR Selangor telah menerima dan meneliti dokumen-dokumen mengenai dakwaan rasuah itu yang diterimanya daripada dua “orang dalam” Kumpulan Semesta dan seorang kontraktor.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.