Usul Ditolak: Dewan rakyat Menolak usul pemindahan pusat pengundian di Hulu Selangor



KUALA LUMPUR, 20 April — Dewan Rakyat hari ini menolak usul bagi membincangkan pemindahan pusat pengundian lebih 14,000 pengundi kerusi Parlimen Hulu Selangor oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dibawa Fuziah Salleh (PKR-Kuantan).

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata usul itu ditolak kerana mengikut Peraturan Mesyuarat 36 (8) Yang di-Pertuan Agong, hakim-hakim mahkamah serta Suruhanjaya tidak boleh dibincangkan di dalam Dewan.

“Bukankah SPR itu kita anggap sebagai sebuah badan bebas. Atas sebab itu, jangan heret Parlimen ini dan saya dalam kancah politik. Saya telah minta maklumat daripada SPR dan saya diberitahu secara bertulis bahawa pada Disember 2009, parti-parti politik telah dimaklumkan dengan belah bahagi kawasan-kawasan yang dimaksudkan.

“Saya juga dimaklumkan bahawa kalau kita melayari laman web SPR, (kita boleh) dapati maklumat di situ. Kalau pun saya benarkan perbahasan atau perbincangan di sini, itu juga jawapan menteri yang berkenaan. Jadi apa manfaat yang kita dapat,” katanya ketika menolak usul itu pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Pandikar Amin turut menegaskan bahawa tidak semua perkara yang dianggap penting oleh Anggota Parlimen itu perlu dibahaskan di dewan.

”Kita masih ada 12 lagi akta yang perlu dibahas dalam tempoh 12 hari. Ahli Yang Berhormat, saya mohon maaf kerana meninggikan suara (kerana) kalau tidak sampai bila kita nak mesyuarat,” katanya. — Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.