KUALA LUMPUR, 22 Mac: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Haji Mohamad Sabu mempersoalkan adakah tindakan menamatkan kontrak wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Vienna mempunyai kaitan dengan dengan nasihat perhubungan awam Apco Worldwide.
Perkhidmatan wakil tetap tersebut, Datuk Mohamad Arshad Hussain ditamatkan bulan ini setelah dipanggil balik oleh Kementerian Luar awal Disember lalu.
Menurut laporan Bernama, beliau dipanggil balik "bagi perbincangan selepas undi Malaysia pada mesyuarat IAEA bercanggah dengan prosedur kerajaan".
Pada mesyuarat itu, Malaysia bersama-sama dengan Cuba dan Venezuela, telah mengundi tidak menyokong resolusi menuntut Iran membekukan program penguraian uranium.
Mohamad Arshad juga adalah pengerusi lembaga gabenor IAEA yang dilantik.
"(Tun) Dr Mahathir (Mohamad) sendiri mengaitkan pemecatan Mohamad Arshad dengan keengganannya menyokong resolusi menuntut Iran membekukan program nuklear.
"Oleh sebab tindakan pemecatan yang pro-Amerika Syarikat dan pro-Israel itu berlaku di zaman Apco menjadi tempat Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional (BN) meminta nasihat, bimbingan, panduan dan tunjuk ajar, kita tertanya-tanya adakah tindakan itu hasil dari muslihat perhubungan awam yang ditagih oleh (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) dan kerajaan BN yang diketuainya dari firma yang didominasi Zionis itu?" kata Mohamad.
Beliau menyifatkan tindakan pemecatan yang pro-Amerika dan Israel itu meletakkan maruah negara ini di tahap paling hina.
"Para pemimpin Umno dan BN menjadikan perbuatan menuduh pembangkang memburuk-burukkan nama negara sebagai hobi dan perisai untuk melindungi kelakuan buruk mereka.
"Hakikatnya kerajaan BN di bawah Najiblah yang meletakkan maruah negara ini di tahap paling hina dengan pelbagai keburukan seperti misteri pembunuhan Altantuya Shaariibuu, pemecatan Mohamad Arshad yang pro-Amerika dan Israel itu dan pelbagai kelakuan buruk lain," kata Mohamad.
Pertengahan Disember lalu, dalam posting blognya yang bertajuk "Kita sudah tukar," Dr Mahathir menyatakan "duta kita dipanggil balik untuk disoal kenapa tidak sokong Amerika".
Secara sinis bekas Perdana Menteri itu bertanya: "Dasar-dasar lama memang patut dihapuskan. Tetapi inikah dasar baru kita?"
Tindakan menamatkan kontrak Mohamad Arshad itu kebetulan berlaku ketika Apco sudah memulakan perkhidmatannya untuk Najib dan kerajaan BN.
Tidak berapa lama selepas Najib menjadi Perdana Menteri, Apco membuka pejabatnya di Malaysia.
Menurut laporan Bernama, firma yang didominasi oleh tokoh-tokoh Yahudi itu menyatakan, tugasnya di Malaysia termasuk sokongan komunikasi untuk pelbagai inisiatif pembaharuan yang diambil oleh kerajaan Malaysia, terutamanya dalam bidang pekerjaan, promosi pendidikan dan mengukuhkan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.
Januari lalu, memetik The Times Of India (TTI), Free Malaysia Today melaporkan bahawa APCO Worldwide juga memberikan perkhidmatan kepada diktator Nigeria, Sani Abacha dan presiden seumur hidup Kazakhstan, Nursultan Abishuly Nazarbayev.
Pelanggan-pelanggan lain APCO termasuk jutawan Mikhail Khodorkovsky, yang juga salah seorang pemimpin muda Parti Komunis Rusia. Beliau dikaitkan dengan kegiatan mafia.
TTI berusaha membongkar senarai pelanggan APCO selepas mendapati Ketua Menteri Gujarat, Narendra Modi juga menjadi pelanggan syarikat tersebut.
Narendra didakwa menjadi penyebab kepada pergaduhan ugama pada Februari 2002 dimana kira-kira 1,000 orang terbunuh, majoritinya orang-orang Islam.
Kerajaan Negeri Gujarat membayar US$25,000 sebulan kepada APCO untuk memulihkan imej Narendra.
Walaupun perkhidmatan APCO tiga kali lebih mahal dari firma-firma PR yang lain, APCO dipilih kerana ia mempunyai ramai ahli-ahli Democrat dan Republican yang berkhidmat sebagai perunding.
Akhbar The Edge dan laman berita Malaysian Insider tahun lalu melaporkan kerajaan Malaysia memilih APCO dengan kontrak bernilai RM20 juta sebaik saja Najib menjadi Perdana Menteri untuk memulihkan imejnya yang sering dikaitkan oleh media-media seluruh dunia dengan pembunuhan Altantuya serta misteri di sebalik pembelian kapal selam Scorpene.
Pembelian jet Sukhoi diselubungi misteri.
1 September lalu, APCO Worldwide membuka cawangannya di Kuala Lumpur selepas perjanjian yang ditandatangani dengan kerajaan Najib.
Di antara penasihat utama APCO ialah pakar-pakar yang pernah berkhidmat dengan rejim Zionis Israel termasuk bekas Ketua Agensi Keselamatan Israel, Doron Bergerbest-Eilon; bekas duta Israel ke Jerman, Shimon Shein dan bekas duta Israel ke Amerika Syarikat, Itamar Rabinovich. - Harakahdaily
* Akhirnya, rakyat Malaysia tahu siapa agen Yahudi yang sebenarnya...
0 comments:
Post a Comment