JK khas parlimen wajar siasat Anwar: Bekas 46



Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim mencadangkan agar ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim disiasat oleh Jawatankuasa Khas Dewan Rakyat berhubung dakwaan beliau berbohong menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam rancangan 16 September.

Menurut Rais, hanya Dewan Rakyat sahaja yang boleh menentukan kebenaran sebenar di mana Anwar harus menjawab semua pertuduhan sama ada beliau bercakap benar atau sebaliknya.

"Dewan Rakyat mesti bertindak menjalankan siasatan di bawah jawatankuasa istimewa dan jawatankuasa khas supaya fakta sebenarnya dapat diketahui," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program majlis Pewaris Muda Negara di Felda Pasoh 2, di Jempol hari ini, lapor Bernama.

"Ini akan menjadi pengajaran kepada semua pemimpin supaya mereka tidak tunduk kepada kehendak berbohong atau pun memutarbelitkan fakta," katanya.

Baru-baru ini, ahli parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mengemparkan Parlimen apabila mendakwa Anwar sanggup mengheret nama Yang di-Pertuan Agong dan ATM bagi menjayakan rancangan mengambil alih kerajaan pusat pada 16 September.

Reaksi Khairy

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, rakyat harus menilai kredibiliti ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan pendedahan Zahrain mengenai rancangan "16 September".

Khairy yang juga ahli parlimen Rembau berkata, hakikatnya semua pendedahan Zahrain datang daripada pengalaman beliau sepanjang berada dalam pakatan pembangkang dan bukannya sandiwara BN.

"Zahrain telah mengalami kekecewaan sejak berada di bawah PKR, dan kita harus melihat pendedahan beliau dengan ikhlas.

"Selepas ini kita tunggu pula bahas titah menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong daripada ahli parlimen bebas yang lain Isnin ini," katanya selepas menyertai perlawanan persahabatan bola sepak antara Pemuda Umno Malaysia dan Pemuda Umno Subang sempena majlis penutupan Liga Subang dan Juara Rakyat Parlimen Subang.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.