Kawalan Istana Kelantan Pada 30 Mac Ditingkatkan


KUALA LUMPUR: Polis akan meningkatkan kawalan keselamatan di Istana Kelantan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku semasa sambutan Hari Keputeraan Ke-60 Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra yang dijadualkan berlangsung pada 30 Mac ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata arahan berhubung perkara itu telah dikeluarkan kepada Ketua Polis Kelantan, Datuk Abd Rahim Hanafi, supaya persiapan rapi sepanjang istiadat penganugerahan darjah kebesaran itu berjalan secara aman dan tidak diganggu gugat mana-mana pihak.

"Kawalan keselamatan akan dipertingkatkan di semua jalan menuju ke istana dan kawasan sekitar. Arahan untuk dipertingkatkan kawalan keselamatan itu telah dititahkan oleh Pemangku Raja Kelantan (Tengku Muhammad Faris Petra) dalam satu perintah bertulis bertarikh 20 Mac lalu," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini. Musa berkata, beberapa anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditempatkan di luar perkarangan istana dan beberapa kawasan lain berhampiran Istana Kelantan pada hari sambutan itu nanti.

Kelmarin, Istana Kelantan memaklumkan akan meneruskan tradisi penganugerahan darjah kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan.

Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berkata, majlis diadakan atas perkenan Pemangku Raja.

Beliau berkata, Pemangku Raja boleh melaksanakan kurniaan itu seperti kuasa diperuntukkan mengikut Perlembagaan Kerajaan Kelantan.
Jumaat lalu, media melaporkan Sultan Kelantan menitahkan semua acara sempena Hari Keputeraan Ke-60 baginda tahun ini tidak dilangsungkan termasuk pengurniaan gelaran, darjah dan pingat kebesaran.

Titah perkara itu disampaikan menerusi Datuk Wan Hashim Wan Daud yang mengaku Setiausaha Sulit baginda di Istana Mahkota Kelantan.

Menurut laporan itu, Wan Hashim berkata surat memaklumkan keputusan yang diambil baginda itu sudah dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 17 Februari lalu dan perkara sama turut disampaikan kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan.

Sementara itu, Musa berkata pihaknya akan mengambil tindakan atau menjalankan siasatan selepas menerima arahan daripada ketua unit pasukan bukannya menerima arahan daripada pihak ketiga yang tiada kaitan dalam pasukan.

Katanya, beliau sudah menasihati anggotanya supaya tidak menerima sebarang arahan atau perintah daripada orang luar kerana ia jelas mencemarkan kredibiliti PDRM.

"Jika ada orang luar yang berbuat demikian maka ia bertentangan dengan Akta Polis dan akan mengurangkan keyakinan orang ramai kepada kami.

"Kita menjalankan siasatan pada semua kes yang dilaporkan tanpa mengira pangkat atau darjat mahupun parti politik dan siasatan dilakukan kerana ia merupakan tugas utama PDRM dalam menguatkuasakan undang-undang," katanya.

Semalam, Musa dilaporkan mendedahkan kebelakangan ini seperti ada tekanan sama ada dari pihak parti politik atau orang tertentu dan tekanan itu mungkin kerana ada pihak yang kurang selesa dengan tindakan yang beliau arahkan.

Katanya, hanya Ketua Polis Negara saja yang boleh memberikan arahan berdasarkan Seksyen 4 Akta Polis 1957.

Dalam perkembangan lain, Musa berkata siasatan terperinci mengikut Akta Hasutan sedang dilakukan terhadap semua laporan polis oleh beberapa pihak berhubung kenyataan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, di Dewan Rakyat Rabu lalu.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, Musa enggan mengulas lanjut kerana kes itu masih dalam siasatan. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.