Ketua Unit Patologi Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Noor, yang melakukan bedah siasat kedua ke atas pembantu politik kepada exco kerajaan negeri Selangor, Teoh Beng Hock berkata bedah siasat pertama dijalankan dengan baik.
Dalam keterangannya hari ini, Shahidan juga berkata kesan kecederaan pada bahagian punggung dan dubur mangsa pula konsisten disebabkan terjatuh dari tempat tinggi.
Menjelaskan lagi pendapatnya mengenai kecederaan pada dubur Teoh, Shahidan berkata: "Kecederaan pada bahagian tersebut adalah sebahagian daripada peristiwa jatuh, sebab patah dan corak-corak (kecederaan) mencadangkan ia begitu.
"Sebab, kalau kecederaan di bahagian belakang telah berlaku lebih awal, pada pendapat saya jenis kecederaan yang akan dialami Teoh mungkin akan berlainan. Saya merujuk kesan kecederaan yang lain juga adalah sama dan berlaku pada masa yang sama.
"Pada pendapat saya jika Teoh telah diperlakukan (ditembus) demikian peristiwa jatuh tersebut mungkin tidak boleh digambarkan kerana kecederaan di bahagian dubur itu agak hebat," katanya.
Beliau turut bersetuju dengan laporan bedah siasat pertama yang dijalankan oleh Dr Khairul Azman Ibrahim dan Dr Prashant Naresh Samberker yang mengatakan Teoh meninggal dunia akibat kecederaan berganda kerana terjatuh dari tempat tinggi.
"Mereka berdua telah menjalankan kerja dengan baik dan jika diberi kepada saya sukar untuk saya memberi laporan sebaik itu. Saya bersetuju dengan bedah saisat mereka," katanya.
Shahidan juga mempertikaikan laporan ahli patologi yang dilantik oleh kerajaan Selangor, Dr Pornthip Rojanasunand dari Thailand yang berkata lebam di leher Teoh adalah akibat dicekik dan kecederaan di duburnya pula akibat ditembus.
Sebaliknya, ahli patologi yang membuat bedah siasat kedua itu berkata jika dicekik, kesan lebamnya akan ketara secara tidak sama rata.
Bedah siasat itu dijalankan pada 22 Nov lalu oleh Shahidan dengan pemerhatian oleh ahli patologi yang dilantik oleh kerajaan Selangor, Dr Pornthip Rojanasunand dari Thailand, manakala Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula melantik Dr Peter Venezis sebagai pemerhati mereka.
Pornthip adalah pengarah Institut Pusat Sains Forensik yang berpangkalan di Bangkok dan terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Undang-undang Thailand. Beliau pada perbicaraan tahun lalu berkata 80 peratus kemungkinan kematian Teoh adalah kerana dia dibunuh.
Venezis pula adalah ahli patologi yang terkenal dengan penyiasatan kematian Puteri Diana.
Kedua-dua ahli patologi berkenaan juga dijadual memberikan keterangan mereka pada suatu tarikh yang belum ditetapkan kemudian.
Koroner Azmil Muntapha Abas mengarahkan bedah siasat kedua ke atas mayat Teoh dilakukan pada 9 Nov lalu berikutan dakwaan Pornthip itu.
Teoh meninggal dunia pada 16 Julai selelepas disoal-siasat oleh pegawai SPRM di ibupejabat mereka di Plaza Masalam, Shah Alam.
Mengikut laporan rasmi, pegawai khas DAP itu terjatuh dari bangunan berkenaan, namun keluarganya pula mendakwa terdapat salah laku dalam kematian Teoh.
Shahidan memberitahu inkues pagi ini bahawa beliau keberatan untuk melakukan bedah siasat kedua seperti diminta oleh Tricia Yeoh dari pejabat menteri Besar Selangor dan peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo.
Pakar patologi dari hospital Sungai Buloh itu berkata, beliau telah meminta mereka menulis kepada kementerian kesihatan.
Pada 9 November, beliau mendapat panggilan dari timbalan pendakwa raya Mohd Abazafree Mohd Abbas, mengarahkannya melakukan bedah siasat tersebut.
Katanya, Pornthip dan Veneziz, bersama dengan dua lagi pakar patologi yang melakukan bedah siasat pertama turut hadir.
Bedah siasat itu bermula jam 12.45 pagi 22 November dan selesai dua jam kemudiannya.
Merujuk kepada laporan bedah siasat tersebut, Shahidan berkata terdapat kesan lebam pada bahagian tiroid si mati.
Juga terdapat darah beku kekal di belakang lidah dekat dengan leher, serta pendarahan di sebelah tepi kanan otak dan di sebelah tepi kanan belakang otak.
Shahidan memberitahu demikian ketika menjawab soalan dari peguam yang dilantik kerajaan, Tan Hock Chuan.
Beliau memberitahu inkues pagi ini bahawa terdapat kesan calar ditemui pada tangan kiri Teoh.
Bagaimanapun, katanya, punca kematian Teoh adalah akibat pelbagai kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi.
Tambahnya, kecederaan pada tengkok Teoh itu adalah akibat jatuh.
"Ia juga menunjukkan bahawa si mati mendarat di kakinya mengakibatkan hentakan kuat pada tulang pelvis dan spina menyebabkan mangsa mengalami patah tulang dan kecederaan pada otot sekitarnya.
"Ada juga kecederaan pada leher yang mungkin disebabkan oleh kesan jatuh. Kecederaan yang dialami adalah sesuai dengan insiden atau kejadian itu," katanya.
Sebaik Shahidan selesai memberi keterangannya, Azmil kemudiannya menangguhkan inkues berkenaan sehingga 1 Mac depan bagi membolehkan peguam yang mewakili keluarga Teoh dan juga kerajaan Selangor menyoal balas ahli patologi berkenaan.
0 comments:
Post a Comment