Singapura Tinjau Pelaburan di Kedah....


ALOR SETAR - Singapura sedang meninjau potensi pelaburan di Kedah dalam sektor pertanian, industri dan pelancongan.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, Kedah bersedia menjalin kerjasama dengan menawarkan tapak pertanian dan hasilnya kelak akan dieksport ke republik itu.

“Banyak perkara dibincangkan terutama membabitkan kepentingan bersama. Saya beri jaminan Kedah mampu membekalkan bahan makanan sama ada makanan ruji seperti beras atau buah-buahan seperti nenas, betik dan pisang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Menteri Negara, Hal Ehwal Dalam Negeri dan Hal Ehwal Luar Singapura, Masagos Zulkifli di pejabatnya di Wisma Darul Aman, di sini.

Menurutnya, Kedah turut berminat menjadi rakan dagang Singapura dalam sektor perikanan kerana masa ini republik itu menjalin kerjasama dengan Vietnam untuk membekalkan ikan.

“Kita bersedia tawarkan tempat untuk ternakan ikan khusus untuk dieksport ke Singapura jika ada pelabur dari sana yang berminat. Terpulang kepada pelabur untuk memilih bidang bersesuaian dan kita akan pastikan ia mampu dilaksana,” jelasnya.

Menteri Besar memberitahu, selain mengeratkan hubungan dua hala, Singapura berminat meneroka sektor industri dan pelancongan di Kedah.

“Pelabur dari Singapura turut menyuarakan minat melabur di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) dan kita amat mengalu-alukan kehadiran mereka kerana masih terdapat kawasan yang luas untuk diteroka di KHTP,” katanya.

Beliau menjelaskan, pelabur turut didedahkan kepada kawasan industri berpotensi di Sungai Petani, Kulim dan Gurun, selain mempromosi Langkawi dan tanah besar Kedah bagi tujuan pelancongan.

“Disebabkan itu, sekarang kita mula laksana projek mega seperti megamall dan hotel bertaraf lima bintang sebagai tarikan baru di Kedah. Ini juga akan merancakkan aktiviti perniagaan di negeri ini, sekaligus membuka peluang pekerjaan kepada rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, Masagos Zulkifli yakin Kedah adalah sebuah negeri yang berpotensi untuk pelaburan dan pihaknya akan menyalurkan maklumat kepada pelabur yang berminat.

“Sebelum ini, Singapura banyak membuat pelaburan di Johor memandangkan jaraknya, namun kini kami mahu melebarkan sayap ke negeri lain yang berpotensi. Saya dapati sektor pelancongan di Kedah boleh diterokai, selain sektor pertanian dan industri,” tambahnya.

Hadir sama dalam perbincangan bersama Masagos adalah Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perumahan, Kerja Raya, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, YB Dato' Ir Amiruddin Hamzah.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.