ALOR SETAR - Orang ramai berpeluang menyaksikan kira-kira 100 spesis ular sempena pameran ular “Bisa Berbisa” dari 6 Mei hingga 6 Jun di Muzium Negeri Kedah, di sini.
Pameran yang diadakan oleh Muzium Negeri Kedah dengan kerjasama Syarikat Cobra Enterprise itu adalah bertujuan untuk menarik minat orang ramai mengunjungi muzium yang terdapat di negeri ini.
Pameran yang berlangsung selama sebulan itu dibuka kepada orang ramai bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.
Ratu Ular, Puteri Nur Ariyani Saiful Yazan, 26 tahun yang berasal dari Sungai Petani berkata, sempena pameran itu, dia tinggal bersama 100 ular berbisa.
“Saya melibatkan diri dalam bidang ini sejak 10 tahun lalu dan mula berjinak-jinak dalam bidang ini ketika berumur 16 tahun,” ujarnya.
Menurutnya, setiap kali pameran ular diadakan, sambutan yang diterima daripada orang ramai amat menggalakkan.
Sementara itu, Raja Ular, Hussine Dastagia berkata, di samping itu terdapat 80 spesis ular pelbagai jenis melibatkan ular tempatan dan luar negara turut dipamerkan kepada pengunjung.
“Tujuan utama pameran ini diadakan untuk mendidik generasi muda untuk mengetahui tentang jenis-jenis ular yang dipamerkan di sini,” jelasnya.
Pengarah Lembaga Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri memberitahu, sepanjang pameran itu berlangsung, pihaknya menyasarkan jumlah pengunjung seramai 100,000 yang akan berkunjung ke muzium berkenaan.
“Pengunjung bukan sahaja boleh melihat ular secara lebih dekat, malah beberapa haiwan eksotik lain seperti iguana dan kura-kura turut dipamerkan pada pameran kali ini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment