Kejayaan Kerajaan Negeri Melahirkan Modal Insan Terbaik... Program Kem Anak Soleh di 7 Daerah Mendapat Sambutan Luar Biasa Dari Pelajar Sekolah Rendah

JITRA – Penganjuran Kem Anak Soleh (KAS) adalah antara program pembangunan insan yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri dalam usaha melahirkan satu generasi yang cemerlang di masa hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi, YB. Dato’ Mohamed Taulan Mat Rasul berkata,  KAS diadakan pada setiap kali musim cuti persekolahan kerana ia terletak di bawah portfolio Pembangunan Insan.

“Program yang diadakan ini dipenuhi dengan pengisian ilmu seperti ceramah anak soleh, smart solat, tip-tip solat, wuduk dan solat, riadah dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian penutup KAS Siri Kelima di Sekolah Menengah Agama Hidayah Islamiah, Sungai Korok, di sini.

Menurutnya, KAS yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kedah adalah bertujuan untuk melahirkan mutiara hati di kalangan ayah dan bonda.
“Ia adalah bertujuan untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang secukupnya di samping mendidik mereka dengan ilmu pengetahuan yang berguna,” jelasnya.

YB. Taulan memberitahu, ibu bapa perlulah memainkan peranan penting dalam usaha memberikan pendidikan yang terbaik kepada anak-anak.

“Selain guru, peranan ibu bapa juga amat penting dalam membentuk anak-anak agar mereka mampu menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

Di samping itu, katanya, Kerajaan Negeri juga turut menganjurkan Kem Bina Insan dan Kem Bina Sahsiah sempena musim cuti persekolahan.

“Kem ini diadakan bertujuan untuk menjalinkan semangat ukhuwah di samping memupuk semangat cintakan ilmu pengetahuan,” tambahnya.

Pada majlis penutup itu, setiap peserta menerima sijil penyertaan yang disampaikan oleh YB. Dato’  Mohamed Taulan Mat Rasul.

Seramai 147 murid Tahun 5 dan 6 menyertai kem berkenaan  yang diadakan selama empat hari tiga malam.

Turut hadir ialah Pengetua Sekolah Menengah Agama Hidayah Islamiah, Ustaz Muhammad Syafie.

Rata-rata pelajar yang ditemui pada program Kem Anak Soleh (KAS) yang diadakan di Sekolah Menengah Agama Hidayah Islamiah, Sungai Korok, di sini melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana dapat menyertai kem berkenaan.

Seorang pelajar, Ainun Najwa Sari, 11, dari Sekolah Kebangsaan Seri Muda melahirkan rasa gembira kerana dapat bertemu dengan rakan-rakan yang lain pada program yang diadakan itu.

“Program yang diadakan ini secara tidak langsung dapat melahirkan permata ayah bonda serta meningkatkan ilmu pengetahuan di kalangan pelajar,” ujarnya.

Seorang pelajar, Aisya Ayunee Mohd Azmi, 11, yang merupakan anak sulung daripada dua adik-beradik menyatakan bahawa kem yang diadakan pada kali ini mampu memberi semangat kepadanya untuk berjaya dalam pelajaran.

“Setiap pembelajaran yang diajar pada program ini akan saya pergunakan dengan sebaiknya dan berharap rakan-rakan yang lain dapat turut serta dalam kem seperti ini,” katanya.
Seorang pelajar, Mohd Azhan Zaki Othman, 12, dari Sekolah Kebangsaan Langgar memberitahu, KAS yang dianjurkan ini mampu mendidik pelajar menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

“Seboleh-bolehnya, saya ingin menjadikan program ini sebagai satu landasan terbaik dalam usaha mencapai kejayaan dalam pelajaran,” jelasnya.

Seorang pelajar, Mohd Helmi Mohd Faisal, 11, dari Sekolah Kebangsaan Jalan Pegawai berkata, kem ini mampu membentuk satu generasi pelajar yang berilmu pengetahuan.

“Ibu dan ayah banyak memberi sokongan dan dorongan kepada saya untuk menyertai kem seperti ini,” ujarnya.

Seorang pelajar, Najla Murni Ramle, 11, yang merupakan anak bongsu daripada empat adik-beradik begitu gembira kerana dapat menyertai kem berkenaan.

“Kem yang diadakan ini amat baik sekali dan saya akan menyertai program seperti ini pada masa akan datang,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.