Ahmad Syauqey: Kenapa Harus Saya Bayar Wang Kepada Peguam Untuk Membela Saya?

"Saya rakyat Malaysia yang miskin, tak mampu untuk dapatkan lawyer (peguam).  Kenapa saya harus bayar wang saya kepada lawyer untuk membela saya dalam kes perbicaraan ini?  Sedangkan saya lebih mengetahui saya di pihak yang benar dan dianiaya.  Kenapa undang-undang yang digubal ini harus menjadi eksklusif untuk lawyer dan hakim atau pengamal undang-undang sahaja, tidak kepada rakyat seperti saya?  Undi saya kepada wakil saya di parlimen adalah untuk menggubal undang-undang untuk keharmonian saya sebagai rakyat negara ini?  Demokrasi erti kepada keterlibatan rakyat dalam urusan ke tahap ini."

Demikianlah jawapan Ahmad Syauqey bin Abdul Ghani (gambar kanan) kepada hakim Mahkamah Majestret Bachok, Kelantan pada 8 Mac 2012.  Gambar Ahmad Syauqey bersama petikan jawapannya disebarkan melalui laman sosial, namun tidak ramai yang mengenalinya, malah tidak mengetahui apa yang berlaku sebenarnya.  Beliau dijatuhkan hukuman penjara satu tahun, bawah seksyen 186 Kanun Keseksaan, atas tuduhan menghalang tugas penjawat awam.

Ahmad Syauqey dipenjarakan terus pada 8 Mac 2012.  Kini rakannya dari PEKA (Aktivis Pengundi Kelantan) telah mendapatkan peguam dan memfailkan permohonan menangguhkan hukuman dan ikat jamin.  Bagaimanapun, keputusannya hanya akan diketahui pada 26 Mac 2012.

MerdekaReview berjaya mendapatkan kronologi kejadian yang menjurus kepada penangkapan dan penahanan beliau, berdasarkan apa yang diceritakan dirinya kepada rakan seperjuangannya dalam PEKA.

Kronologi penangkapan Ahmad Syauqey

Pada 20 Jun 2011, Ahmad Syauqey ditahan di sekatan jalanraya Kg. Wakaf Aik, Tawang, Bachok.  Setelah didatangi polis yang bernama Lans. Koperal <147841> Mohd Fairus B. Mohd Hassim, Ahmad Syauqey memberitahu bahawa roadtax keretanya telah luput, malah sempat memperkenalkan namanya dan memberitahu lokasi tujuannya iaitu dalam perjalanan mengambil anak di sekolah.

Ahmad Syauqey diminta keluar kereta dan beliau menurut perintah polis itu.  Lans. Koperal Mohd Fairus B. Mohd Hassim meminta lesen memandu, tetapi setelah ditegur Ahmad Syauqey bahawa polis biasa tidak berkuasa memeriksa lesen (itu kuasa polis trafik atau JPJ), kemudian dia menukar arahan iaitu minta kad pengenalan.  Kerana meragui sekatan jalan raya yang dibuat tanpa meletak kon, isyarat "berhenti", dan lokasi sekatan adalah di selekoh jalan, maka Ahmad Syauqey meminta kad kuasa polis Lans. Koperal Mohd Fairus B. Mohd Hassim.

Kali kedua beliau minta daripada Lans. Koperal Mohd Fairus B. Mohd Hassim bagi meneliti butiran pada kad kuasa sambil meminta kebenaran untuk menelefon balai polis berdekatan, iaitu balai polis Bachok untuk mengesahkan bahawa Lans. Koperal Mohd Fairus B. Mohd Hassim adalah polis yang sah.

Lans.Koperal Mohd Fairus B. Mohd Hassim mula terasa dicabar dan bertindak tidak profesional dengan meminta kembali kad kuasa dan kerana kekeliruan, Ahmad Syauqey digari.  Ahmad Syauqey cuba menerangkan bahawa beliau sudi memberi kerjasama.  Namun, dalam menangani situasi itu, Lans. Koperal Mohd Fairus B. Mohd Hassim telah berkasar dan menjatuhkan Ahmad Syauqey ke tanah, kemudian memijak kepala Ahmad Syauqey dengan kasutnya.  Setelah menggari, dua orang polis lain datang dan membawa Ahmad Syauqey masuk kereta dan beliau dibawa ke lokap IPD Bachok.


Latar belakang Ahmad Syauquey


Demikianlah kronologi yang dikisahkan Ahmad Syauquey kepada rakannya.  Menurut rakannya ketika dihubungi MerdekaReview, Ahmad Syauquey tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku ke atas dirinya pada 20 Jun 2011, dan bertindak untuk membuat laporan polis pada hari kedua selepas dibebaskan.  Malah, Ahmad Syauquey berbaring di depan balai polis untuk menunjukkan protes.

Untuk itu, beliau ditangkap dan dituduh berkelakuan tidak senonoh.  Beliau ditahan di lokap IPD Bachok, kemudian dipindah untuk ditahan di Penjara Pengkalan Chepa.  "Syauquey akhirnya didenda RM400 untuk kes ini (protes berbaring di luar balai)," kata rakannya.

Selain itu, pengalaman dua minggu bersama tahanan di Penjara Pengkalan Chepa pada Julai 2011 telah memberi beliau inspirasi yang cukup kuat bagi membela nasib tahanan dalam penjara.  Pelbagai isu pelanggaran hak asasi manusia telah berjaya dikesan dan beliau telah merakamkan gambaran suasana dalam penjara dan situasi menjalani tahanan di lokap polis melalui lukisan-lukisan tangan.  Beliau juga telah menghantar Laporan Pelanggaran Hak Asasi Manusia kepada Hakim Pelawat Penjara, Pejabat Mufti Kelantan dan SUHAKAM untuk siasatan lanjut.

Menurut rakannya, Ahmad Syauqey adalah seorang aktivis sosial.  Setelah menamatkan pengajian Dilpoma Perakaunan di UiTM Machang, beliau menyambung pengajiannya di Universiti Multimedia.  Beliau mula aktif dalam gerak kerja politik sejak kampus dan merupakan pimpinan mahasiswa Islam di UITM Machang pada zamannya.  Kini beliau berumur 37 tahun, dan mempunyai tiga orang anak.

Beliau adalah antara aktivis Malaysian For Free and Fair Election (MAFREL) di peringkat awal penubuhannya, iaitu pada tahun 2004.  Beliau merupakan Ketua Misi Pemantauan Pilihan Raya Zon Miri, Pilihan Raya Negeri Sarawak (2006), Pengarah Latihan MAFREL (2008) dan bersama pasukannya bagi memantau, menerbit dan membentang kan Laporan Komprehensif Pilihan Raya Kecil Batu Talam, Machap dan Ijok.

Pengalaman pemantauan pilihanraya beliau kemudiannya diteruskan dalam organisasi yang lebih kecil di Kelantan dengan menubuhkan Pengundi Kelantan (PEKA) pada tahun 2008.  Antara pemantauan pilihanraya yang telah dibuat dan laporannya telah dihantar kepada SPRM adalah Laporan Pilihanraya Kecil Galas 2010.  Melalui PEKA juga, beliau diberi kepercayaan oleh wakil-wakil rakyat bagi membantu menyediakan bank soalan bagi diangkat ke sidang dewan rakyat dan dewan undangan negeri Kelantan.

Selain pemantauan pilihanraya, Ahmad Syauqey turut mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak dan agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Jabatan Penjara dan Pejabat Mufti Kelantan.  Semua ini dalam usaha beliau lebih memahami tatakelola jabatan-jabatan kerajaan dan seterusnya menyelesaikan pelbagai permasalahan rakyat secara diplomasi dan tersusun.  Tidak hairanlah jika dilihat, cadangan beliau kepada SPRM iaitu isu rasuah pilihanraya sewaktu prosiding Parliament Selective Committee (PSC) Penambahbaikan Pilihanraya Malaysia di Kota Bharu pada 7 Januari 2012, mendapat perhatian serius daripada Pegawai SPRM yang hadir (Timbalan Pengarah SPRM Kelantan) dan menemubual beliau setelah tamat sidang.

Dalam aspek penglibatan beliau dalam pergerakan politik anak muda Kelantan, beliau amat berhasrat untuk melihat 30 CSO (Civil Society Organization) atau pergerakan masyarakat sivil tumbuh di Kelantan, yang menumpukan pelbagai aspek permasalahan rakyat bagi pengukuhan semangat negara berdemokrasi dan urus tadbir kerajaan yang baik dan berintegriti atau good governance.  Beliau seorang aktivis senior yang bersifat tegas, terbuka, kritis, berani dan sangat meransang penglibatan semua pihak.  Maka tidak mustahil, musyawarah peserta bengkel Anak Muda Demokrasi pada Ogos tahun 2011 bersepakat melantik beliau sebagai Ketua Koordinator bagi CSO Anak Muda Demokrasi Kelantan (AMOK).

Ahmad Syauqey menjadi moderator dalam Bengkel BERSIH 2.0 Kelantan di Hotel Ridel pada November 2011 yang lepas, ternyata sifat proaktifnya menyelamatkan keadaan.  Style baru forum kelolaan beliau ialah dengan mengumpulkan panelis di tengah dan audien mengelilingi panelis dan mereka bebas bertanya soalan, mencelah dan menyanggah.  Ini suatu gaya baru cetusan beliau dan kini, ramai yang mahukan style ini digunapakai untuk program anak muda, tidak lagi statik, beku dan protokol.

Pergerakan Occupy Kota Bharu, protes Akta Perhimpunan Aman, protes Akta Pekerja di Wisma Persekutuan, Kota Bharu, Virgil ISA 2010 dan forum-forum politik di Kelantan, hampir semua dihadiri oleh beliau.  Yang terbaru, beliau menjadi salah seorang ahli penel dalam program Anak Muda Anti Kezaliman, pada 25 Februari 2012 bersama Adam Adli.  Malah, malam terakhir sebelum dipenjarakan pun, beliau hadir bermesyuarat dengan penuh idea baru yang segar bersama Pemuda PAS Kelantan dan NGO untuk pelancaran Gerakan 'Anak Muda Tolak UMNO’ (AMTU).

"Itulah Ahmad Syauqey Abdul Ghani, aktivis sepenuh masa yang digeruni UMNO/BN. Kelantangannya mengkritik, keberaniannya menegur dan keterbukaannya dalam merangsang orang lain cukup membuatkan kami amat terasa akan kehilangannya di sisi kami," luahan rakan-rakannya dari Aktivis Pengundi Kelantan (PEKA).

MerdekaReview

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.