Undi pos: Pemuda PAS sambut syor baru SPR, tapi sangsi BN terima

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Dewan Pemuda PAS menyambut baik cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuat perubahan besar terhadap undi pos dengan menggantikan sistem lama kepada sistem pengundian awal menjelang Julai 2011, tetapi sangsi Barisan Nasional (BN) akan bersetuju dengan cadangan tersebut.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Suhaizan Kaiat berkata, cadangan SPR untuk membuat perubahan itu pasti sukar untuk dilaksanakan kerana perlu mendapatkan persetujuan Kabinet pusat, pimpinan BN yang meletakkan harapan total terhadap undi pos selama ini.

Dalam kebanyakan kes hampir keseluruhan undi pos akan memihak kepada BN kecuali dalam beberapa kes seperti ketika pilihan raya kecil Telok Kemang pada 2001.

“Cadangan itu bagus tetapi adakah Kabinet akan setuju kerana selama ini undi pos adalah deposit tetap kepada undi BN?

“Ini kerana ruang manipulasi terlalu besar dalam sistem undi pos, jadi saya tidak fikir BN dengan mudah bersetuju dengan cadangan tersebut,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan menerusi blog http://kentong-suhaizan.blogspot.com.

Beliau berkata beberapa cadangan SPR sebelum ini untuk memastikan ketelusan pilihan raya tidak berjaya apabila ada pihak yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan cadangan tersebut.

“Sebagai contoh sebelum ini SPR telah mengeluarkan peraturan tidak membenarkan parti bertanding membuat pondok panas di sekitar tempat mengundi, parti pembangkang mematuhi peraturan itu tetapi ejen BN pula adalah sebaliknya.

“Begitu juga ketika pilihan raya 2008 di mana SPR telah membelanjakan banyak wang untuk membeli dakwat hitam bagi menanda jari untuk pengesahan pengund, namun apabila ada pihak berkepentingan tidak bersetuju akhirnya SPR terpaksa akur dan membatalkan penggunaan dakwat hitam.

“Dalam pilihan raya 2008 pula SPR juga menetapkan setiap calon yang bertanding perlu mendapat pengesahan pesuruhjaya sumpah terlebih dahulu sebelum penamaan calon tetapi ramai calon Umno-BN tidak sempat untuk membuat pengesahan pesuruhjaya sumpah tersebut, lantas peraturan ini dibatalkan pada saat akhir.

“Jadi saya yakin cadangan SPR itu akan menerima nasib yang sama,” katanya.

Bagaimanapun Suhaizan berkata sistem pengundian awal ini sebenarnya masih tidak menyelesaikan sepenuhnya masalah ketidaktelusan dalam undi pos.

“Ini kerana ruang-ruang ketidakadilan dan manipulasi masih terdapat dalam beberapa perkara. Antaranya, kita melihat bagaimana hanya pihak kerajaan BN sahaja dibenarkan masuk ke kem untuk berkempen.

“Selain itu, sistem pengundian awal ini akan menyebabkan semua anggota tentera, polis dan SPR berkumpul di satu tempat untuk mengundi. Jadi bagaimana SPR mahu mengarahkan pihak tentera untuk tidak membuat sebarang aktiviti di luar kem pada masa mereka mengundi?

“Justeru saya minta SPR ukur kail (joran) sendiri. Jika kail panjang sejengkal bagaimana SPR mahu menduga laut yang dalam?” katanya.

Sebelum ini Dewan Pemuda PAS mengesyorkan gerakan Himpunan Bersih II bagi mendesak pilihan raya yang adil dan bersih diadakan sebaik sahaja Parlimen dibubarkan bagi membuka laluan kepada pilihan raya umum ke-13.

Cadangan ini dikemukakan ketika banyak pihak mula bercakap mengenai kemungkinan pilihan raya umum akan diadakan dalam waktu terdekat.

Ada yang meramalkan pilihan raya umum ke-13 akan berlangsung antara tiga hingga 12 bulan ini.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengumumkan bahawa pilihan raya umum ke-13 akan mengejutkan semua pihak seolah-olah sebagai isyarat bahawa ia akan diadakan lebih awal daripada yang sepatutnya.

“Justeru memandangkan pilihan raya negara terlalu terdedah kepada manipulasi, Jawatankuasa Bersih perlu berbuat sesuatu dengan mengadakan Himpunan Bersih II dan ia akan diadakan pada hari Sabtu terdekat selepas Perdana Menteri membubarkan Parlimen,” kata Suhaizan.

Perhimpunan Bersih kali pertama telah digerakkan di ibu negara pada 10 Nov 2007 untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ia telah dianjurkan oleh pertubuhan Bersih yang turut disertai pelbagai parti pembangkang dan badan bukan kerajaan untuk menuntut pilihan raya yang adil.

Awal bulan lalu, Dewan Pemuda PAS membahaskan usul agar diadakan Himpunan Bersih II bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

Perkara ini juga menjadi perhatian dalam Kongres Nasional Keenam PKR kira-kira dua minggu sebelum itu.

Dalam ucapan dasar pada kongres itu, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa Pakatan Rakyat agar sekali lagi mengadakan Himpunan Bersih II untuk menjamin perjalanan pilihan raya yang adil.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.