Isu Felda: Timbalan Menteri, Pemimpin PAS ‘Berdebat’ Kewajaran Debat atau Dialog

Mazlan (kanan) mengeluarkan cabaran kepada Ahmad Maslan untuk berdebat tentang isu rizab tunai Felda. — gambar fail

KUALA LUMPUR, 8 Julai — Seorang timbalan menteri dan pemimpin pusat PAS, kedua-duanya generasi kedua anak peneroka Felda, “berdebat” pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini sama ada wajar membincangkan isu kontroversi kewangan Felda seacar debat ataupun dialog.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Persatuan Anak-Anak Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman muncul pada sidang media untuk bertukar-tukar surat jemputan masing-masing agar diadakan dialog dan debat.

Dua minggu lalu, Mazlan mencabar Ahmad agar berdebat bersama beliau berhubung kedudukan kewangan Felda.
Ahmad menyahut cabaran itu tetapi mahu diadakan dialog berbanding debat.

Pertemuan itu mahu memfokus kepada isu dakwaan penyalahgunaan dana agensi pembangunan tanah persekutuan itu yang kini berhadapan dengan kemerosotan simpanan tunai.

Simpanan tunai Felda telah menurun daripaada RM4.08 bilion pada 2004 kepada RM1.35 bilion tahun lalu.
Bagaimanapun kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menafikan wujud elemen penyalahgunaan dana Felda dan tidak pernah bankrap sebagaimana didakwa Pakatan Rakyat.
Ahmad menjelaskan, langkah debat hanya satu usaha mahu mendapatkan publisiti yang tidak akan menyelesaikan masalah yanh menjadi fokus sama sekali.

“Debat lebih kepada sentimen. Ia bukan untuk mencari penyelesaian. Kita boleh berdebat untuk dua jam tetapi dialog boleh berterusan sehingga dua hari,” katanya.
Mazlan pula membalas dengan berkata, beliau mahukan orang ramai menilai hasil debat, malah mahu mereka mendengar kebenaran isu-isu yang dihadapi oleh Felda,
pengendalian kawasan perladangan terbesar di dunia.

“Saya mempunyai sebab peribadi mengapa lebih berminat agar diadakan debat. Bagi saya, adakan dialog bukan isunya.

“Daripada 317 ladang Felda yang ada, saya telah melawat 90 peratus daripadanya dan saya telah menerima banyak maklum balas daripada mereka.

“Saya memperjuangkan isu-isu Felda sebelum anda (Ahmad) menyertai Kabinet,” kata beliau sambil menambah pihaknya telah menghantar surat, memorandum dan laporan polis tetapi “tidak sampai 10 peratus daripada isu yang dibangkitkan telah diselesaikan” oleh kerajaan BN.

Oleh itu katanya, debat jika diadakan akan menjadi ruang yang terbaik bagi kesemua isu diselesaikan dan rakyat berupaya untuk mengetahui kebenaran.

“Saya menghargai jika debat ini disiarkan secara langsung menerusi saluran-saluran tempatan, agar rakyat boleh melihat dengan sendiri dan membuat rumusan mereka,” kata Mazlan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.