Kenyataan "Malaysia bankrap" untungkan PR, kata Tony Pua


Barisan Nasional berdepan dengan "dilema", antara "pengurangan subsidi" dengan "pengurangan pengagihan kontrak", yang bakal mencungkil ketidakpuasan rakyat dan kroni - lantaran kenyataan "bankrap pada tahun 2019", kata Ketua Publisiti DAP, Tony Pua. Situasi ini membuka peluang kepada Pakatan Rakyat dalam PRU yang akan datang, tambahnya.

Ketika mengulas selanjutnya, ahli parlimen Petaling Jaya Utara - DAP ini berkata kerajaan memilih untuk memotong subsidi seperti makanan, petrol dan sebagainya yang akan menimbulkan ketidakpuasan warga kota, malah penduduk luar bandar, apabila harga barang kawalan seperti gula juga dinaikkan harga.

Di samping itu, Tony Pua (gambar kiri) yakin bahawa kerajaan akan mengurangkan "dasar kroni"-nya, yang mana pengagihan kontrak akan berkurangan, menjurus kepada pemberontakan dalam UMNO sendiri. Beliau meramal, "UMNO akan menghadapi tentangan dalaman. Rakyat akan menentang (BN) dalam (PRU) yang akan datang. Pakatan Rakyat ada peluang!"

Beliau berkata, jikalau UMNO-BN gagal menampung dana yang diperlukan dalam projek mega, maka mereka perlu berdepan dengan masalah politik yang besar, lantas menjurus kepada kemungkinan peralihan kuasa kepada PR.

"Tidak kira apa pun yang berlaku dalam Pakatan Rakyat, atau apa pun skandal yang berlaku di kalangan parti komponan PR, faktor utama pertukaran kerajaan bukan bergantung kepada betapa baiknya prestasi DAP, tetapi ketidakpuasan kebanyakan rakyat terhadap BN kerana keadaan ekonomi. (Rakyat akan) undi pembangkang, (jikalau) gagal dilakukan pada tahun 2012, maka perlu mengambil alih sebelum tahun 2019. Harap masih sempat diselamatkan," kata Tony.

Tony Pua berkata demikian dalam satu forum berjudul "2019 - Ekonomi Malaysia bankrap?", anjuran DAP di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam. Ahli panel yang lain termasuklah pengkaji politik Ong Kian Ming dan penganalisa politik Jamaluddin Ibrahim. Kira-kira 120 orang menghadiri majlis perlancaran buku Tony Pua, termasuk Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Petroleum bagai kena loteri

Berucap di depan hadirin berketurunan Cina, Tony Pua mengibaratkan pendapatan petroleum yang dinikmati negara kita seolah-olah terkena loteri, malah pendapatan melonjak apabila harga petroleum antarabangsa melambung.

"Hari-hari kena loteri, mengapa sekarang (kerajaan) kata bankrap pula?"

Graduan Universiti Oxford ini berkata, "Walaupun pendapatan negara kita amat tinggi lima tahun kebelakangan ini, Petronas menyumbang RM270 bilion untuk kerajaan. (Tapi) masalah kita adalah, tidak kira berapa banyak anda menyumbang kepada saya (kerajaan), saya (kerajaan) akan meminjam wang yang lebih banyak dari bank dengan wang yang sedia ada itu...tanpa memikirkan sama ada wang ini berkekalan."

Lapangan minyak yang terhad dan harga minyak antarabangsa yang jatuh balik telah memberi kesan kepada pendapatan kerajaan. Namun demikian, Tony Pua berkata kerajaan kita tidak berani untuk meningkatkan kadar bayaran tol, tapi hanya memotong subsidi gula, tepung, beras, setem, petrol dan sebagainya.

Malah, Tony Pua menuduh bahawa kerajaan tidak memandang serius masalah yang paling besar, iaitu subsidi kepada Penjanakuasa Elektrik Persendirian (IPP) yang menelan RM13 bilion setahun. Biarpun demikian, rakyat tetap membayar untuk harga elektrik yang tinggi.

Seterusnya, Tony Pua berkata, biarpun pendapatan telah berkurang, kerajaan tetap menambah pinjaman hutang untuk membiayai projek yang tidak berkesan, misalnya Projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang berakhir sebagai skandal. Dalam keadaan hutang semakin melambak, Malaysia mungkin gagal mengelakkan diri daripada bankrap.

Apa yang ditinggalkan BN?

DJ radio 988, Jamaluddin Ibrahim yang fasih dalam bahasa Cina mempunyai pandangan yang tersendiri, dalam isu ramalan PRU kilat, memandangkan tahap kepuasan rakyat terhadap Perdana Menteri Najib Razak yang semakin melonjak mengikut soal selidik baru-baru ini.

"Kalau PRU diadakan sekarang, sekiranya dimenangi orang seperti ini (menuding kepada Tony Pua), apa yang akan terjadi kepada orang seperti kami? Macam mana dengan UMNO?" tanya Jamaluddin.

Kata Jamaluddin mencungkil gelak hadirin, sebelum beliau menyambung, "Jadi, apa yang paling penting sekarang adalah, kami sapu banyak sedikit, sebelum PRU menjelang, atau sebelum PRU bermula. Mestilah, kalaupun nak tinggalkan apa-apa, mestilah tinggalkan saki-baki yang buruk kepada mereka (PR)."

Jamaluddin Ibrahim berkongsi pengamatannya baru-baru ini, dari kenaikan harga setem, barangan kawalan, menggesa agar saman polis dibayar, sehinggalah jambatan bengkok dan sebagainya, "Mengapa sumber-sumber ini diagihkan?"

Maka, beliau membuat kesimpulan, "Apakah punca di sebalik segala-gala ini? Mengapa? Kerana kerajaan telah nampak."

"Untuk saya, sebelum PRU yang akan datang, apa yang boleh diagihkan, akan diagihkan...," Jamaluddin Ibrahim menyindir pemimpin kerajaan seterusnya, "Jikalau saya menang dalam PRU akan datang, saya ada lima tahun lagi untuk mengumpul sumber saya. (Seandainya) saya kalah, saya ada ladang di Australia, hartanah di UK, apa yang hendak ditakutkan? Yang malang itu kamu (rakyat)."

Bankrap kalau terus bazir

Pengkaji politik, Ong Kian Ming mengulas dari perspektif pendidikan, bahawa negara kita bukan sahaja bankrap dari segi ekonomi, malah juga berdepan dengan masalah bankrap dari segi moral dan pendidikan.

Ong Kian Ming (gambar kiri) berkata, biarpun bilangan institusi pengajian tinggi tempatan agak banyak, malah memperoleh peruntukan daripada kerajaan untuk menjalankan kajian, namun profesor belum mencecah taraf yang tinggi, melahirkan graduan yang juga tidak tinggi kualitinya.

Mengulas selanjutnya, Ong Kian Ming menuduh graduan yang tidak menjangkau tahap hanya boleh masuk bekerja di bidang perkhidmatan awam, setelah ditolak masuk untuk berkhidmat di syarikat multinasional.

*Ong Vic Kee ialah wartawan MerdekaReview,

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.