Kerugian Kohilal Bukannya RM45 juta : Exco Kelantan


KOTA BARU, 9 Jun — Kerajaan PAS Kelantan sambil menyifatkan isu kerugian didakwa RM45 juta, yang ditanggung Koperasi Al-Hilal Berhad (Kohilal) sebagai “cerita lama”, yakin pengurusan akan memulihkannya dalam dua tahun lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Kelantan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah tidak menafikan ada kerugian dialami Kohilal, tetapi menafikan jumlahnya RM45 juta sebagaimana didakwa oleh Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali baru-baru ini.

“Kerugian kurang RM1 juta, bukannya RM45 juta... tak sampai RM1 juta pun... lagipun ini perkara lama, tahun 1990-an,” kata beliau ketika ditemui The Malaysian Insider selepas ceramah dan perasmian gerai jualan sempena Muktamar Tahunan PAS di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa dekat ini.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan berkata, Kohilal berhadapan dengan masalah pengurusan dan kerugian sekitar 1996 dan selepas siasatan oleh suruhanjaya koperasi, diambil alih oleh pengurusan baru dua tahun lalu.

“Dua tahun lalu, Kohilal mengadakan mesyuarat tahunan dan pengurusan baru mengambil alih... saya dimaklumkan oleh pengurusan baru bahawa kewangan mereka akan kembali pulih dalam dua tahun lagi.

“Soal turun naik kewangan adalah perkara biasa dalam perniagaan, ada tahun naik, ada tahun turun. Insya-Allah dalam dua tahun lagi akan ada perubahan, kembali baik,” kata beliau yang turut menjelaskan isu pada ceramahnya.

Baru-baru ini Perkasa menggesa agar PAS mendedahkan ke mana RM45 juta wang pelaburan kira-kira 20,000 ahlinya disalurkan.

Ibrahim dilaporkan berkata, banyak dakwaan timbul mengenai kewujudan skandal dalam koperasi itu dan menimbulkan tanda tanya ahli PAS sendiri.

Kohilal ditubuhkan pada 1986 dan kali terakhir membayar dividen adalah pada 1997.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.