Kereta Bentley RM1.7juta : Tengku Fakhry Tarik Balik Saman Pemula

KUALA LUMPUR 9 Jun - Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Sultan Ismail hari ini menarik balik saman pemula beliau terhadap kekandanya, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra di Mahkamah Tinggi di sini untuk menuntut sebuah kereta mewah buatan Bentley dengan harga belian S$706,880 (RM1.7 juta).

Pesuruhjaya Kehakiman, Datin Zabariah Mohd. Yusof membenarkan permohonan Tengku Muhammad Fakhry dengan kos guaman RM5,000 dibayar kepada kekandanya.

Keputusan yang dibuat dalam kamar itu dimaklumkan kepada pihak media oleh peguam Datuk Mohd. Haaziq Pillay yang mewakili Tengku Muhammad Fakhry.

Menurut Mohd. Haaziq, anak guamnya semalam telah mengarahkan beliau menarik balik saman pemula tersebut kerana kereta Bentley yang dituntut telah pun dikembalikan semula ke Istana Mahkota sehari selepas baginda kembali ke tanah air setelah menerima rawatan di Singapura.

Oleh kerana plaintif telah menarik balik saman pemulanya, maka mahkamah telah membatalkan saman tersebut.

Pada 8 September 2009, Tengku Muhammad Fakhry memfailkan writ saman bersama afidavit sokongan dengan menyatakan kenderaan berwarna biru dengan nombor pendaftaran DBG 1 adalah miliknya.

Sehubungan itu defendan dihalang daripada menuntut hak milik atau mengambil kenderaan itu tanpa izin plaintif.

Tengku Muhammad Faris telah mengemukakan permohonan bagi membatalkan saman pemula adindanya itu sebelum ini.

Bagaimanapun permohonan Tengku Muhammad Faris telah menjadi akademik setelah saman pemula dibatalkan oleh mahkamah.

- Utusan

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.