NAJIB bergambar bersama pemimpin negara yang hadir pada Forum Ekonomi Islam Sedunia 2010 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. Dari kanan Tun Musa Hitam, Mohamed Nasheed, Susilo Bambang Yudhoyono, Sultan Hassanal Bolkiah, Abdoulaye Wade, Dr Fatmir Sejdiu dan Sheikh Hasina Wazed.
KUALA LUMPUR: Malaysia kini tergolong dalam 10 negara paling berdaya saing dunia dengan menduduki tempat kesembilan, tahun ini berbanding tempat ke-18, tahun lalu.
Mengikut laporan World Competitiveness Yearbook 2010 yang diterbitkan Institute for Management Development (IMD), semalam, Malaysia mencapai nilai indeks 87.228 tahun ini, meningkat daripada 77.162 tahun lalu.Ia meletakkan Malaysia sebaris Singapura, Hong Kong, Amerika Syarikat, Switzerland, Australia, Sweden, Kanada, Taiwan dan Norway, sebagai negara paling berdaya saing dunia.Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pencapaian 10 terbaik dunia adalah hasil pelaksanaan beberapa inisiatif yang inovatif dan berani oleh kerajaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi memacu pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau berkata, inisiatif itu turut merangkumi pembangunan sektor swasta yang berdaya tahan, meskipun berdepan persekitaran ekonomi global yang lembap.
“Ini menunjukkan kerjasama awam dan swasta dapat dijadikan asas bagi pertumbuhan yang kukuh, stabil dan menyeluruh pada masa depan," katanya pada sidang media di luar Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF 2010) di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama Timbalannya, Datuk Mukhriz Mahathir.
Mustapa berkata, pencapaian itu turut menggambarkan asas ekonomi negara yang kukuh.
Katanya, pencapaian itu turut diraih hasil daripada peningkatan tahap Kecekapan Kerajaan - satu daripada empat faktor input utama dalam pengkelasan daya saing - dengan Malaysia meningkatkan kedudukannya dari tangga ke-19 tahun lalu kepada kesembilan tahun ini, hasil pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP).
Tiga lagi faktor input utama dalam pengkelasan daya saing adalah Kecekapan Perniagaan, Prestasi Ekonomi dan Infrastruktur.
GTP yang dilancarkan tahun lalu memfokus kepada usaha memperkukuh persekitaran perniagaan, membanteras rasuah, memperbaiki infrastruktur, mempermudah prosedur kerajaan dan mengukuhkan sistem pendidikan.
“Bagi faktor Kecekapan Kerajaan dan Kecekapan Perniagaan, prestasi Malaysia mengatasi negara maju lain seperti Luxembourg, Switzerland, Kanada, Denmark dan Sweden.
“Kami percaya masih ada bidang di mana lebih banyak usaha perlu dilakukan. Kerajaan harus terus memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan, meningkatkan pelaburan berkualiti tinggi, membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam menghadapi cabaran persaingan global.
“Paling penting memberi penekanan usaha melahirkan modal insan yang inovatif dan kreatif," katanya.
IMD yang berpangkalan di Lausanne, Switzerland menerbitkan laporan tahunan IMD World Competitiveness Yearbook sejak 1989 untuk memberi gambaran kedudukan daya saing negara mengikut indeks daya saing.
Bagi tahun ini, 58 negara mengambil bahagian dan IMD melaporkan kedudukan daya saing mengikut empat kategori iaitu kedudukan keseluruhan, kedudukan mengikut saiz penduduk, kedudukan mengikut kekayaan dan kedudukan mengikut rantau ekonomi.
0 comments:
Post a Comment