ALOR SETAR: Kerajaan Kedah menyifatkan tindakannya untuk tidak meluluskan permohonan konsert dua alam ‘Ramli Sarip vs Amy Search’ sebagai tindakan biasa berdasarkan tradisi yang diamalkan kerajaan negeri sejak sekian lama.
Exco Kerajaan Tempatan, Datuk Phahrolrazi Zawawi, berkata ia adalah jelas seperti mana yang diamalkan kerajaan terdahulu bahawa tidak ada sebarang konsert terbuka membabitkan nyanyian atau muzik moden yang rancak seperti berkonsep rock dianjurkan di Kedah.
Katanya, kerajaan negeri ketika ini bersetuju dengan amalan tradisi yang diamalkan kerajaan terdahulu kerana berpendapat ia tidak sesuai dianjurkan di negeri ini.
“Seperti yang kita maklum, amat jarang atau tidak pernah sama sekali konsert seperti ini dianjurkan di Kedah bukan hanya ketika pemerintahan sekarang malah ketika ia ditadbir Barisan Nasional (BN) dulu juga tidak pernah.
“Ia tidak sesuai kerana Kedah sememangnya terkenal dengan institusi pengajian agama dalam negara ini,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan sekarang tidak keberatan menerima permohonan pertunjukan nyanyian secara tertutup yang berbentuk nasyid dan lagu-lagu asli.
“Sepanjang yang kita tahu tidak pernah ada konsert terbuka seperti ini di Kedah cuma yang ada hanya konsert irama asli dan nasyid... itupun dibuat secara tertutup di dalam dewan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment