Dua Orang Kuat Samy Vellu Cedera Kena Kawat Duri Polis

KUALA LUMPUR, 17 April — Tiada kekecohan besar pada peringkat awal proses penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor di Kuala Kubu Baru dekat sini pagi ini.

Bagaimanapun dua orang kuat Datuk Seri S. Samy Vellu cedera apabila cuba menyelamatkan Presiden MIC itu daripada terjatuh pada kawad berduri yang dipasang oleh pasukan polis.

Sekatan kawad itu dipasang di kedua-dua laluan utama ke pusat penamaan calon.

Rombongan BN juga nyaris terlewat untuk memasuki pusat penamaan calon disebabkan banjiran ribuan penyokong mereka.

Kehadiran ribuan penyokong menyebabkan situasi tolak-menolak di kalangan mereka sehingga ada yang hampir terjatuh pada kawad berduri dipasang polis.

Speaker Dewan Undangan Negeri DUN Perak, Datuk R. Ganesan dan Setiausaha MIC Wilayah Persekutuan Datuk P. Panchamorthy cedera pada tapak tangan sebelah kanan dalam usaha mereka mengelak Samy Vellu daripada jatuh pada kawad yang dipasang.

Samy Vellu pula mengalami kecederaan di bahagian paha kaki kiri.

Ketiga-tiga mereka menerima rawatan sementara di ambulans yang disediakan berhampiran pusat sebelum diberikan rawatan lanjut di klinik berhampiran kemudian.

Dalam pada itu, Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mohd Idris Abu Bakar turut menjadi mangsa halangan berduri ini.

“Apabila rombongan penyokong BN bergerak dan menolak dari belakang, Datuk Seri Samy hampir terjatuh, dan saya sempat membantunya dengan menahan beliau menggunakan tangan dari sebelah kanan beliau manakala Datuk Ganeson dari sebelah kiri,” kata Panchamorthy ketika ditemui di luar pusat penamaan calon di Kompleks Serba Guna Sukan, Kuala Kubu Baru di sini pagi ini.

“Saya berharap pihak berkuasa keselamatan meletakkan barisan penghadang tiga lapisan sebelum meletakkan sekatan dawai dalam bentuk pisau cukur kecil ini,” katanya.

“Saya tidak cedera, cuma seluar bahagian bawah lutut terkoyak,” kata Mohd Idris ketika ditemui The Malaysian Insider.

“Ini kali pertama kawalan begitu ketat dalam pilihan raya kecil. Saya berharap mungkin boleh dilonggarkan sebab kedua-dua pasukan berada pada jarak yang jauh.

Naib Presiden MCA Datuk Donald Lim pula memberitahu, oleh kerana kawalan keselamatan agar terkawal, kawad berduri sepatutnya boleh dielakkan.

“Ya, tetapi kemungkinan polis mahu mengelak keadaan lebih buruk, mungkin mereka juga ada sebab tersendiri,” kata beliau ketika ditemui.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar kedua-dua BN dan Pakatan membawa sekitar 10,000.

Rombongan BN yang diketuai Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang sepatutya menggunakan jalan utama bertar, dari sebelah kanan kompleks sukan, terpaksa melalui “laluan” pintas jalan tanah untuk ke pusat penamaan kira-kira 9.30 pagi bagi mengelakkan kesesakan kalangan penyokong mereka.

Calon BN P. Kamalanathan berjaya memasuki pusat penamaan calon kira-kira 9.35 pagi.

Tinjauan The Malaysian Insider mendapat kedatangan penyokong Pakatan Rakyat melebihi rombongan BN.

Dalam pada itu, maklumat disalurkan pusat media BN menyebut sekurang-kurangnya dua Pemuda BN tercedera di kepala apabila dibaling batu “gravel” sebesar penumbuk oleh penyokong pembangkang yang berkubu dalam Masjid Kuala Kubu Baru.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.