KUALA TERENGANU: Cuti panjang sempena Tahun Baru Cina sejak Ahad lepas sehingga semalam membawa tuah kepada pengusaha keropok lekor Losong apabila kebanyakan mereka berjaya meraih hasil jualan sehingga RM5,000 sehari.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Keropok Losong (PPKL), Suhaimi Ali berkata, jualan semasa musim cuti baru-baru ini amat menggalakkan dengan kedatangan pelanggan yang tidak kunjung habis.
"Berbanding semasa wabak taun tiga bulan lepas, kami nak dapat RM1,000 sehari pun susah, namun alhamdulillah, semasa cuti Tahun Baru Cina ini pengunjung sentiasa penuh di gerai-gerai keropok kami," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Suhaimi yang juga memiliki gerai keropok "Warisan Losong" berkata, dianggarkan setiap pengunjung terutama dari luar Terengganu membelanjakan lebih RM100 untuk membeli keropok bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga sebagai buah tangan kepada saudara mara serta rakan.
Menurutnya, dia mengupah seramai 12 orang pekerja dan menggunakan 500 kilogram ikan segar untuk menghasilkan keropok lekor setiap hari bagi menampung permintaan semasa musim cuti itu.
"Saya buka gerai daripada pukul 9.30 pagi hingga 9 malam dan kami menerima pengunjung tidak putus-putus," katanya.
Suhaimi berkata, orang ramai kini kembali meminati keropok lekor Terengganu selepas negeri itu tidak lagi dikaitkan dengan dengan wabak taun, sekali gus membuka lembaran baru kepada pengusaha-pengusaha keropok di negeri tersebut.
Selain di Losong, tinjuan Bernama di beberapa kawasan yang juga terkenal dengan keropok lekor seperti di Seberang Takir, Batu Rakit dan Pulau Kerengga sehingga petang semalam sesak dengan pembeli keropok dari luar Terengganu yang mengambil kesempatan membelinya sebagai buah tangan.
Seorang pembeli Haryati Ismail, 32, dari Selayang, Selangor berkata, dia membelanjakan RM75 untuk membeli keropok lekor yang dipesan rakan sepejabat selepas mengetahui dia sekeluarga akan bercuti di negeri itu.
"Keropok lekor Terengganu istimewa dan rasa lebih sedap kerana menggunakan lebih banyak ikan segar berbanding keropok lekor yang biasa kita makan di pasar-pasar malam yang ada di Selangor," katanya ketika ditemui. - BERNAMA
0 comments:
Post a Comment